Mee

Mi Bakso Simple Dan Sedap

By LiNa_Pg - Friday, November 08, 2024

 Assalamualaikum...

Lama tak bersiaran di dapur maya nan satu ini.Sebenarnya sudah lama sangat saya buat Bakso ni rasanya sempena raya haji lagi.Haaa sekarang dah masuk bulan November baru hegeh-hegeh nak masukkan dalam blog TMK, agaknya kalau tak ada video youtube memang saya akan lupa bahan apa yang dimasukkan ke dalam resepi ini.Mujurlah sudah ada rujukan kat sana, senang cuma salin semula ke sini aje.

Kalau kita bandingkan kuah bakso dengan kuah soto, sebenarnya bakso jauh lebih mudah sebab bahan tak banyak dan cara penyediaannya pun sangat ringkas, kuah dan sambal.Itu sahaja.Sayur pun ada setengah resepi tak letak sayur sekadar letak daun bawang atau daun sup sahaja.Kalau saya, suka juga diletakkan sedikit sayur sawi.

Bakso selalunya menggunakan bebola daging, saya masukkan sedikit sahaja bebola daging buat syarat kerana sudah ada daging dan tulang.

Resepi Bakso Mudah dan Sedap
by @malina lina pg https://linapg.blogspot.com/
Bahan A (kuah bakso)
5 biji buah keras (kisar)
3 ulas bawang merah (kisar)
3 ulas bawang putih (kisar)
1 kilo tulang rusuk (siap direbus)
2 paket kecil Masako daging/sapi (boleh ganti dengan kiub pati lembu)
Serbuk lada sulah
Bebola daging secukupnya
Daun bawang (simpul/ikat)
Garam (jika perlu)
Minyak
Air

Cara-Cara
  1. Panaskan sedikit minyak, tumis bahan kisar hingga terbit bau. Masukkan daun bawang, tumis hingga garing.
  2. Masukkan tulang yang telah direbus bersama air rebusan tulang, kemudian masukkan bebola daging (jika tidak ada tulang, boleh guna bebola daging sahaja).
  3. Untuk rasa bakso yang authentik, saya masukkan serbuk Masako daging dan juga serbuk lada sulah.Biarkan kuah mendidih.
  4. Seimbangkan rasa kuah, tambah garam (jika perlu).Kuah bakso siap!.
Bahan B (sambal bakso)
3 biji cili merah (kisar)
5 biji cili padi merah (terpulang selera) - kisar
3 ulas bawang putih (kisar)
Sedikit kuah bakso (untuk kisar bahan)
1 sb sos cili
Cuka makan
Gula merah
Garam

Cara-Cara
  1. Masukkan cili merah, cili padi dan bawang putih ke dalam pengisar, dan kisar bersama sedikit kuah bakso.
  2. Tuang ke dalam periuk kecil, masukkan sos cili, cuka makan, gula merah dan garam.
  3. Reneh hingga sambal pekat, kemudian tutup api.Sambal bakso siap!
Bahan C
Mi kuning / bihun / suhun
Sayur sawi
Daun sup/daun bawang

  • Share:

You Might Also Like

1 comments

  1. Sedap tu bakso. Teringat dulu masa dok di Indonesia. Tiap hari boleh makan bakso, sebab ada pakcik yang jualan keliling. Nak makan je tinggal beli. Sekarang ni nak makan bakso, kenalah buat sendiri.

    ReplyDelete