Resepi Mee Kari Yang Sedap Tips Menjadikan Kuah Kari Padu Dan Warnanya Menarik | mi kari simple malina lina pg
Assalamualaikum...
Hai semua, kembali bersiaran.Minggu ini tuan rumah rajin siket buat posting memandangkan banyak lagi bahan yang belum sempat di update dalam blog kesayangan.Untuk resepi kita kali ini, saya nak kongsikan resepi mee kari yang simple dan menggunakan bahan ringkas sahaja.Sebenarnya mee kari yang sedap bergantung kepada kuah karinya yang padu sedikit pekat tapi tidak terlalu berlemak (dengan santan)Kalau banyak kandungan santan boleh muak jugak kan?
Kalau kat rumah saya ni, mee kari boleh dikatakan setiap bulan akan ulang siar sebab semua suka sangat makan mee kari.Selalunya kalau benda yang saya sentiasa masak, memang agak malas sedikit nak buat video sebab selalunya main campak-campak jer.Tetapi setiap kali saya post gambar mee kari ke IG atau IGS (story) ramai yang DM minta saya kongsikan resepi.Lama jugaklah janji tu tertangguh, Jadi hari ini saya tunaikan permintaan follower untuk buat video dan berkongsi resepi dalam blog.Bukan apa, sebenarnya resepi mi kari saya ni sangat simple dan bahan pun ringkas sahaja.Memang saya tak masukkan udang dan kerang dalam kuah mee kari.Sebab bagi saya ketiadaan 2 seafood ini tidak menjejaskan rasa kuah pun.Walaupun stok udang memang sentiasa ada dalam peti ais, saya tidak masukkan ke dalam mee kari.
Saya kongsikan beberapa TIPS cara masak mee kari yang sedap
- Guna rempah kari ikan dan campurkan dengan sedikit serbuk kari ayam.Saya lebihkan serbuk kari ikan untuk pekatkan kuah dan kurangkan sedikit santan,untuk elakkan rasa muak.Untuk resepi mee kari kali ini saya guna serbuk kari ikan dan ayam keluaran Rahman's Spice.Alhamdulillah hasilnya menepati piawaian selera kami sekeluarga.
- Tambahkan sedikit serbuk cili untuk naikkan seri kuah mee kari.Kombinasi rempah kari ikan, rempah kari ayam dan serbuk cili menjadikan kuah sedikit kemerahan.
- Masukkan sedikit udang kering dan kisar bersama bawang dan bahan lain.Udang kering akan menaikkan lagi kuah mi kari.
- Untuk mengisar bahan, masukkan sedikit minyak masak.Tips supaya bahan kisar akan lebih halus (mudah hancur) dan juga akan mempercepat proses menumis untuk pecah minyak.
- Masukkan sedikit gula merah semasa menumis rempah.Gula merah akan karamelize bawang dan rempah menjadikan warna tumisan/kuah kemerahan dan menarik juga dapat seimbangkan rasa pedas kari dan memberi sedikitttttt manis di hujung-hujung rasa.
- Semasa proses menumis, ulang 2x pecah minyak.Contohnya setelah tumisan pecah minyak, masukkan air dan tumis hingga pecah minyak sekali lagi.Kalau rajin boleh ulang proses ni 2-5x.Ini rahsia kuah kari akan menjadi lebih sedap dan tahan lama (lambat basi) rasa dan aroma kari juga akan lebih sedap.
- Guna asam jawa menggantikan asam keping.Asam jawa akan memberikan rasa masam yang tidak terlalu tajam seperti asam keping dan juga akan pekatkan kuah.
- Rahsia lain ialah gunakan sedikit sos tiram dalam kuah...Kena cuba yang ini baru tahu kelainannya yea.
saya guna rempah keluaran Rahman's Spice..sama je kan warna kat packaging dengan warna mee kari ni.Saya memang suka warna kari yang kemerahan macam ni.Kalau yang kuning atau pucat tu memang kurang menarik la
- Panaskan sedikit minyak, tumis kulit kayu manis dan bunga lawang.
- Kemudian masukkan bahan kisar, tumis hingga garing.
- Masukkan serbuk kari ikan Rahman's Spice dan serbuk kari ayam Rahman's Spice.Saya masukkan terus serbuk kari ke dalam tumisan (guna api kecil supaya tumisan tidak hangus)Ini tips supaya aroma kari lebih bangkit bila terkena haba panas.Kalau nak bancuh dengan sedikit air pun boleh.
- Sambil menumis boleh masukkan sedikit air.Tumis hingga pecah minyak.
- Kemudian masukkan gula merah, sambil kacau masukkan air dan tumis hingga pecah minyak sekali lagi.
- Masukkan ayam dan gaul rata dengan tumisan.Setelah ayam kecut sedikit, masukkan garam, air asam jawa, santan dan air secukupnya (untuk kuah)
- Kemudian masukkan fish cake, fish ball dan kiub ayam.Setelah kuah hampir mendidih masukkan sos tiram.
- Biarkan kuah mendidih dan tutup api.Mee kari sedia dihidang bersama sawi, tauge, telur rebus, hirisan cili dan limau nipis.
- Selamat Mencuba
2 comments
byk info baru dpt😊tqq lina.
ReplyDeleteen somi dan
si bungsu sy tu peminat mee kari.
menarik kaler terang menggoda selera
dulu mesti singgah kat rnr ulu bernam
mkn. mee kari sedap
okay boleh cuba cara cik lina lepasni.. tq tau...
ReplyDelete