Sunday, May 30, 2021

Resepi Ayam Tiram Thai Bersama Sos Thai Mudah dan Sangat Sedap | Ayam Tiram Thai malina lina pg

 Assalaumualaikum...

Hai semua, sekolah dah mula bercuti, terasa lapang siket la masa untuk update blog.Tak lama tak menaip ni mesti buntu tak tau nak mengarang apa.Kita terus sajalah ke resepi hari ini.Okey saya nak share resepi ayam tiram thai resepi gabungan kepak ayam madu seakan daging bakar harimau menangis jugak la dan sos pencicahnya tu hampir sama dengan daging bakar danok tapi lebih simple sebab tak guna beras sangat.Percayalah walaupun resepi ni sangat ringkas tapi sungguh sedap.Nak makan dengan nasi pun boleh kalau nak meratah gitu ajer pun boleh.

ayam tiram thai, kepak ayam madu, ayam tiram viral, ayam thai viral di tiktok,kepak ayam madu,sos thai homemade, ayam bakar donok, harimau menangis,

Ayam Tiram Thai Sos Thai
by malina lina pg http://linapg.blogspot.com/
Bahan Perap
20 kepak ayam
1/2 cm halia (tumbuk)
2 ulas bawang putih (tumbuk)
2 sb sos tiram
2 sb kicap manis
1 sk madu
1 sb minyak masak

Cara
  1. Gaul semua dan perap 30min kemudian panaskan pan, letak sedikit minyak.Bakar hingga masak.
  2. Boleh juga bakar guna oven atau air fryer
Bahan sos
1 ulas bawang putih (tumbuk)
2 biji cili padi merah (tumbuk)
1 akar ketumbar (tumbuk)
3 sb sos ikan
1 sb sos tiram
1 biji limau nipis (ambil jus)
1 sb gula merah/gula thai/gula putih
daun ketumbar
serbuk cili kasar (chilli flakes)

Cara
  1. Satukan semua bahan, seimbangkan rasa.Sos thai siap.




Tuesday, May 25, 2021

Resepi Ikan Goreng Kicap Halia Chinese Style | Ikan Masak Halia Malina Lina Pg

 Assalamualaikum...

Hai semua..hari ini saya nak kongsikan satu resepi yang mudah tapi cukup menyelarakan iaitu Ikan Goreng Kicap Halia chineese style.Kalau yang suka versi lebih sihat, ikan tu boleh dikukus.Nak guna ikan jenis apa tu terpulang kepada stok yang ada di rumah.Pesanan saya halia tu kena goreng banyak banyak sebab rasanya sangat sedap dimakan bersama kuah kicap, gaul gaul dengan nasi memang padu.Tak payah lauk lain pun tak apa.Bak kata omputih less is more.

ikan masak halia, ikan goreng kicap simple, ikan goreng halia mudah dan sedap, ikan masak kicap chinese style, resepi ikan mudah dan sedap,
Halia goreng garing-garing siket memang sedap sungguh ni

Ikan Goreng Kicap Halia Chinese Style
by malina lina pg http://linapg.blogspot.com/
Bahan A
2 ekor ikan kerapu (saiz kecil)kalau besar guna seekor
1 sb tepung jagung
garam

Bahan B
halia dimayang halus /sagat

Bahan C (sos kicap)
2 sb kicap cair
1 sb sos tiram
2 sb kicap manis
1 sb kicap mee
1 biji liamu nipis (ambil jus)
serbuk lada sulah (ajishio)
1 sk gula merah
4 sb air

Bahan D (tumisan)
2 cm halia (mayang)
2 ulas bawang putih (mayang)
Daun bawang (guna bahagian batang/keras)

Bahan E (hiasan)
Daun bawang (hiris memanjang)
Cili merah (hiris memanjang)
Daun ketumbar

Cara
  1. Ikan dibersihkan dan perasakan dengan garam dan tepung jagung.Kemudian goreng ikan hingga masak,angkat dan ketepikan terlebih dahulu.
  2. Kemudian goreng halia yang dimayang halus/sagat.Kuantiti halia terpulang kepada selera masing-masing.Kalau suka boleh letak banyak-banyak.Goreng halia hingga garing.Kemudian angkat dan toskan.Keluarkan lebihan minyak tinggal sedikit sekadar untuk menumis.
  3. Sementara itu sediakan kuah kicap/sos kicap.Sediakan mangkuk kecil satukan semua bahan C dan kacau hingga gula larut.Ketepikan terlebih dahulu.
  4. Tumis bahan D hingga garing, kemudian masukkan kuah kicap/sos kicap yang kita telah sediakan.Masak hingga mendidih sedikit kemudian tutup api.
  5. Kemudian tuang kuah kicap ke atas ikan yang telah digoreng.Tuang sekadar basah ikan sahaja (jangan habiskan dulu). 
  6. Taburkan hirisan daun bawang,cili merah dan halia goreng.Curahkan bagi kuah kicap tadi ke atas susunan halia, daun bawang dan cili.Halia tu wajib tersiram kuah kicap baru sedapp tau.
  7. Hias dengan daun ketumbar.Dah siap.Selamat mencuba

Monday, May 24, 2021

Resepi Lala Goreng Bercili Mudah Dan Sedap

 Assalamualaikum...

Hari ini rasa macam tak berapa ada idea untuk mengarang.Saya nak share idea lauk simple iaitu lala goreng bercili sangat mudah dan sedap.Masak pun sekejap saja dah siap.Kalau nak guna kepah, remis, siput buluh pun boleh.Setiap kali beli lala, resepi ni akan sentiasa jadi ulangan selain lala katok serai..Kadang kadang 1/2kg buat masak serai, baki 1/2kg lagi buat masak cili ni..Lauk tambahan ikan goreng ke hayam guring ke camtulah selalunya.Simple-simple saja.

lala goreng cili, lala masak bercili, lala goreng cili linapg,resepi lala, lauk simple,lala goreng cili malina lina pg,

Lala Goreng Bercili

by malina lina pg http://linapg.blogspot.com/

Bahan-Bahan

1/2kg lala

3 ulas bawang putih (tumbuk)

4 biji cili merah (tumbuk)

2 batang serai (ketuk)

4 sb sos cili

1 sb sos tomato

2-3 sb sos tiram

sedikit gula

Air (anggaran 2 sb)

Minyak

Daun bawang (hiasan)

sedikit serbuk lada sulah (lina pg guna ajishio)


Cara

  1. Panaskan minyak, tumis serai dan bahan tumbuk hingga garing.
  2. Masukkan sos cili, sos tomato, sos tiram dan tumis hingga pecah minyak.Kemudian masukkan sedikit gula dan air.Biarkan mendidi sekejap.
  3. Masukkan lala dan gaul sebati.Tutup periuk dan biarkan lala masak (cengkerang akan terbuka)
  4. Akhir sekali tabur daun bawang dan letakkan sedikit serbuk lada sulah.Kacau-kacau siap.Tutup api.

Thursday, May 20, 2021

Resepi Bubur Jagung Utara (Ada kelainannya)

 Assalamualaikum....

Berderet resepi menggunakan jagung ni.Sebenarnya resepi jagung ni bukanlah saya masak berturut-turut, masak minggu/bulan lain sebenarnya.Tapi tu lah bila nak post dalam blog ni jadi berturut pulak.Kesnya saya dahulukan resepi untuk puasa dan resepi hari raya.Kalau setakat bubur macam ni bebila pun okey.

Okey berbalik kepada bubur jagung kita ni, kelainan bubur jagung utara ialah penggunakan beras pulut dalam bubur.Bukan sahaja sedap tapi kuah juga pekat.Makan pun kenyang.Kalau tak masukkan sagu pun tak apa.Paling sesuai kalau nak makan ramai tapi jagung setongkol dua jer hehee..jimat belanja.Penuh satu periuk sebab beras pulut sifatnya mengembang bila dimasak.

bubur jagung,resepi bubur jagung,bubur jagung utara,bubur jagung beras pulut,
Bubur jagung ni rasa dia macam kombinasi bubur pulut hitam tapi versi putih suci dan lembut.Kalau bubur pulut hitam, tekturnya keras kena kunyah kunyah...yang ni lembut tapi jagung kena kunyah lah haha


BUBUR JAGUNG BERAS PULUT 
by malina lina pg http://linapg.blogspot.com/
Bahan-Bahan
2 tongkol jagung (sagat/parut)
500ml santan
1/2 cawan beras pulut (cuci dan rendam 10min)
1/4 cawan sagu (siram dengan air)
1/2 cawan gula (tambah/kurang)
2 helai daun pandan
garam
air secukupnya

Cara-Cara
  1. Masukkan isi jagung ke dalam periuk, masukkan air secukupnya.Rebus hingga jagung empuk.
  2. Masukkan daun pandan dan beras pulut dan masak hingga beras kembang.
  3. Masukkan gula, santan,garam dan sagu.Masak hingga mendidih dan sagu jernih.Tutup api, bubur jagung beras pulut sedia dinikmati.

Wednesday, May 19, 2021

Lepat Jagung Lemak Manis

 Assalamualaikum....

Hi semua tengah mood rajin update blog neh.Hari ni saya nak share resepi yang tertangguh sekian lama.Lepat Jagung ni saya buat dah lama sebelum puasa lagi.Ni sebenarnya baki jagung yang saya guna untuk Sup ABC, ada setongkol lagi bolehlah buat lepat, bak buat banyak2 tak berapa rajin nak membungkus hahaa

Okeylah lepat jagung ni kalau di Indonesia nama 'lemet' (kalau tak silap la)sebab ada follower bagitau macam tu.Kalau di Sabah pulak panggil pais jagung.Resepi pun ada macam-macam versi, ada yang campur semua sekali dan terus balut dengan daun pisang atau kulit jagung lepas tu kukus.Macam yang saya buat ni saya kacau dulu atas dapur, baru balut dan kukus sekejap supaya aroma dia bangkit.Kalau nak masukkan kelapa parut sebagai inti pun boleh juga.Cuma kalau tekak saya tak berapa suka ada kelapa parut kat tengah sebab rasa bersepah-sepah dan terasangkut kat tekak bila nak makan.Terpulang selera masing-masing.

Kalau yang tak cukup kulit jagung, boleh guna daun pisang untuk balut.Kalau tak ada daun pisang guna jer cup/bekas kecil lebih senang tapi tak de feel macam lepat...rasa macam makan puding jer.

resepi lepat jagung, lemet jagung, pasi jagung,lepat jagung mudah dan sedap, cara buat lepat jagung, lepat, kuih warisan, kuih tradisional melayu,

Lepat Jagung Mudah Dan Sedap Lembut Meliut-Liut
by malina lina pg http://linapg.blogspot.com/
Bahan-Bahan
1 tongkol jagung (parut/sagat)
2 cawan santan (sederhana)
1/2 cawan tepung jagung
1/2 cawan gula (boleh kurangkan/tambah)
Garam
Daun pandan

Cara
  1. Satukan semua bahan, kacau sebati supaya tak berketul kemudian masak api sederhana hingga likat.Pastikan sentiasa kacau supaya adunan tidak bergentel/berketul.
  2. Sediakan daun pisang/kulit jagung dan letakkan anggaran 2 sudu adunan tadi, balut dengan kemas.Kalau kulit jagung tak cukup, boleh guna bekas/cup/acuan kecil.
  3. Kukus selama 10min api kecil/sederhana.Setelah sejuk bolehlag dihidangkan.Selamat mencuba.

Tuesday, May 18, 2021

Sup ABC, Semudah ABC dan Sangat Berkhasiat

 Assalamualaikum....

Lepas raya ni selera nak makan yang lemak-lemak rasa kureng dah....jom kita kembali ke pangkal jalan,buat sup simple semudah ABC.Sup ni tak perlu tumis semua pun main lebur jer.Sangat bagus untuk kesihatan tanpa minyak dan sangat berkhasiat.Kalau nak makan sup semata pun boleh juga tanpa nasi kerana nutrisi sup abc ni dah lengkap.Ada kentang untuk karbo sebagai pengganti nasi.Pendek kata makan sup pun kenyang la.

sup ayam simple dan sedap, sup abc, sup chinese style,sup untuk diet, resep ayam, sup ayam mudah, sup tanpa tumis, sup abc lina pg,
kalerful gitu penuh ceria

SUP ABC 
by malina lina pg http://linapg.blogspot.com/
Bahan
10 ketul ayam
1 tongkol jagung manis (potong ketebalan 2cm)
2 batang karot (buang kulit-potong baji)
2 ketul ubi kentang (belah 4)
2 biji tomato belah 4
2 labu bawang holland (belah 4)
2 kiub ayam
1 sudu kicap cair
Serbuk lada sulah
Garam+gula/perasa (jika perlu)
1 liter air (atau secukupnya)
Daun bawang

Cara
  1. Sedia periuk masukkan ayam, kentang, karot,jagung, 2 potong tomato, air, kiub ayam dan kicap cair.Tutup periuk dan biarkan hingga ayam masak.
  2. Setelah mendidih dan ayam masak, masukkan sedikit garam dan serbuk lada sulah, buah tomato dan bawang holland.Tutup periuk sekejap supaya bawang dan tomato lembut.
  3. Tutup api dan sup abc sedia dihidang.Tabur daun bawang untuk hiasan.Selamat mencuba

Monday, May 17, 2021

Cara Buat Donut Lembut Gebu Tanpa Uli Beriya Simple Jer

 Assalamualaikum....

Masih dalam mood raya ke tu?Kami sekeluarga cuma beraya half day jer raya pertama,sebab tak ke mana-mana dan tiada tetamu...berbaju baru sekadar untuk bergambar lepas tu lepak-lepak makan-makan ulang lagi sampai penat hahaa...

Hari ini anak-anak dah mula PDPR, kita ambil kesempatan update blog dulu dengan bahan yang tertangguh.Resepi donut ni saya dah buat sebelum puasa lagi macam biasalah memang manjang tak sempat nak selit masuk kat dapo maya yang satu ni.Tambahan pula blog pun makin sunyi..

Okeylah berbalik kepada resepi kita hari ini iaitu donut simple.Ni kira macam donut kampung jer la sebab tak guna bread improver, dough softener, ovelet pun tak masuk.Kita cuma guna bahan basic sahaja.lepas tu uli pun gitu-gitu jer.Sekadar bercampur.Sesuailah bagi mereka yang tak berapa rajin menguli (macam saya ni hahaha)Nak keluarkan mixer yang kedabak tu malas, kita uli guna tangan jer.Donut ni kalau uli lama memang lagi lembut la.Uli cincai cincai pun dah lembut apa lagi kalau uli beriya...lagilah gebu.Proofing pun 1x sahaja.

resepi donut gebu, cara buat donut simple, donut uli guna tangan, resepi donut tanpa uli, resepi donut mudah dan sedap, donut lina pg,
Walaupun bahan simple tapi gebuuuuu u olls...cara buat pun senang ya amat

resepi donut gebu, cara buat donut simple, donut uli guna tangan, resepi donut tanpa uli, resepi donut mudah dan sedap, donut lina pg,

Resepi Donut Simple Uli Guna Tangan Jer

by malina lina pg http://linapg.blogspot.com/

Bahan A

3 cawan tepung gandum

1 sk serbuk penaik/baking powder

1 biji telur (pukul sedikit)

1 sb majerin

sedikit garam

Bahan B

1 cawan air

1 sk yis

2 sb gula

2 sb susu pekat manis

Cara: campurkan semua dan perap selama 20min atau hingga yis berbuih/kembang.Bergantung kepada cuaca.

Bahan C

minyak (untuk menggoreng)

gula kastor/gula icing (salut)


Cara-Cara

  1. Dalam mangkuk besar satukan tepung gandum, garam dan serbuk penaik, gaul rata bahan kering.
  2. Kemudian masukkan  majerin dan telur.Gaul menggunakan sudu terlebih dahulu.Kemudian gaul menggunakan tangan hingga menjadi seperti serbuk roti.
  3. Buat lubang di tengah kemudian tuang adunan yis tadi sedikit demi sedikit sambil uli hingga menjadi doh.Kalau rajin boleh uli lama.Tapi lina pg uli sekadar sebati sahaja.Note doh memang agak lembek.
  4. Tutup doh dengan plastic wrap atau tuala lembab dan biarkan doh kembang 1x ganda.
  5. Apabila doh kembang tumbuk-tumbuk doh untuk keluarkan angin.
  6. Taburkan tepung atas papan canai dan bulatkan doh.Bahagi doh kepada beberapa bahagian (saiz dan kuantiti terpulang)
  7. Buat rounding hingga habis kemudian tekan sedikit supaya leper dan tebuk lubang di bahagian tengah.Boleh guna penutup botol/nozle atau guna jari jer.
  8. Perap selama lebih kurang 10-15min supaya doh kembang.Untuk nak pastikan doh ready untuk digoreng kita tekan sedikit guna jari jika doh melantun naik semula itu bermakna dah boleh goreng.Jangan over proofing nanti doh akan serap minyak dan bentuknya akan 'lari'/senget benget semasa kita angkat untuk goreng.
  9. Panaskan minyak dan goreng donut hingga kuning keemasan.Angkat dan toskan.
  10. Salut donut menggunakan gula kastor/gula aising semasa donut masih suam.Jika donut dah sejuk nanti gula sukar untuk melekat.
  11. Selamat mencuba.

Wednesday, May 12, 2021

Mi Hailam Simple Mudah dan Sedap Gerenti Menjadi | mee hailam malina lina pg

 Assalamualaikum...

Hari ini merupakan ramadan terakhir bagi tahun ini, jangan sedih-sedih tau sebab tak boleh balik beraya di kampung.Alaaa tahun lepas kan kita beraya di perantauan dah ada experience semua.So kita harungi sajalah nak buat macam manakan...kesihatan dan keselamatn semua perlu diutamakan.

Hari terakhir ni kalau tak ada idea nak masak apa, bolehlah buat mee hailam.Biasalah kalau resepi lina pg semuanya simple-simple saja.Kita guna jer bahan apa yang ada dalam peti ais.Konsepnya kita buat dia, bukan dia buat kita.Kalau nak buat hidangan ringkas untuk raya pun boleh jugak ni.Tapi kat rumah saya dah terbiasa pagi raya mesti ada nasi dan lauk.Ketupat tak wajib sangat.Tapi selalunya saya buat jugaklah siket cuma tahun ni larangan menziarah tak tahulah siapa nak habiskan kalau TERRRRmasak banyak-banyak.Buat serba siket pun end up banyak juga yang terhidang huhu...

Okeylah jom kita semak resepi mee hailam yang serba ringkas ni

resepi mee hailam simple,mi hailam sedap, reespi mi hailam mudah dan sedap, cara masak mee hailam, mee hailam melayu, mi hailam chinese style,
Mi hailam ni saya buat video, sebab rekod awal siket...nak tunggu berbuka tu kuah pun makin menyusut hahaha..Untuk lauk kalau tak ada udang dan sotong, memadailah letak ayam jer.Sayuran pula terpulang selera.

Mee hailam simple mudah dan sedap

by malina lina pg http://linapg.blogspot.com/

Bahan A (Tumbuk)

1 sudu besar udang kering (cuci dan rendam supaya lembut)

3 ulas bawang putih

3 ulas bawang merah

Bahan Lain

1 bungkus mee kuning (lina pg celur sekejap dan toskan)

300g ayam

udang (terpulang nak letak banyak mana-lina pg guna 5 ekor)

sotong (lina pg guna anggaran 3 ekor)

fish ball dan fish cake

1 sudu besar cili giling

3 sudu besar sos tiram (sesuai selera)

2 sudu besar sos cili

1 sb besar sos tomato

1 sb kicap cair (boleh gantikan dengan sos ikan)

1 sb kicap mee (kicap pekat) utk gelapkan kuah

4-5 sudu besar kicap manis (terpulang selera)

3 cawan air 

2 sb tepung jagung bancuh dengan sedikit air

1 kiub ayam

minyak


sayuran

sawi

karot

tomato


Cara-Cara

  1. Panaskan minyak, tumis bahan tumbuk hingga garing.Masukkan cili giling tumis hingga pecah minyak.
  2. Masukkan ayam, kacau sebentar bersama bahan tumisan.
  3. Masukkan sos tiram, sos cili, kicap cair, kicap mee, dan kicap manis.Kacau sebentar kemudian masukkan air (untuk kuah).
  4. Masukkan sayuran yang keras (batang sawi, karot, baby corn jika suka) dan kiub ayam.
  5. Apabila kuah  mendidih masukkan fish ball,fish cake, udang dan sotong.
  6. Masukkan bancuhan tepung jagung untuk pekatkan kuah.
  7. Masukkan daun sawi dan mee (yang telah dicelur)gaul sebati dengan kuah.
  8. Akhir sekali masukkan tomato dan serbuk lada sulah.Tutup api.Mee hailam sedia dihidang.

Tuesday, May 11, 2021

Resepi Puding Karamel Lembut Smooth & Silky Gitu | puding karamel simple malina lina pg

 Assalamualaikum....

Korang ok tak tu?Nampak gayanya kita beraya dalam PKP lagi tahun ni.Pasrah sajalah kan semoga covid19 berlalu pergi dan kita semua sentiasa dalam lindungan Allah s.w.t.Walaupun agak sedih sedikit kerana tak dapat berkunjung ke rumah adik adik yang ada kat sini.Nampak gayanya kami beraya 5 beranak sajalah.

Okeylah hari ni nak share satu resepi cliche dalam bulan puasa ni iaitu Puding Karamel.Resepi ni memang wajib buat la, sepanjang ramadan ni dah 3-4x buat puding karamel.Alhamdulillah semua pun suka.Dalam 3-4x buat tu hari ni baru berkesempatan nak update blog hehee.

resepi puding karamel, puding karamel simple,puding gula hangus mudah dan sedap, puding telur sukatan cawan,cara buat puding telur tanpa kukus,puding keremel sedap, puding karamel lembut,

resepi puding karamel, puding karamel simple,puding gula hangus mudah dan sedap, puding telur sukatan cawan,cara buat puding telur tanpa kukus,puding keremel sedap, puding karamel lembut,
Makan sejuk-sejuk memang sedap sangat ni.Lemak manis nyaman meluncur ke anak tekak

Puding Karamel Lembut Gedik-Gedik Sedap Dan Mudah
by malina lina pg http://linapg.blogspot.com/
Bahan A (gula hangus/karamel)
3 sudu besar gula

Bahan B (Puding)
1 cawan susu cair
1 cawan air
1/2 cawan susu pekat manis
5 biji telur
1 sk esen vanilla

Cara-Cara
  1. Sediakan loyang, masukkan gula guna api kecil/sederhana hingga gula mencair sendiri.Ratakan ke seluruh loyang.Ketepikan.
  2. Dalam bekas berasiangan masukkan susu cair,air,susu pekat manis, telur dan esen vanila.Tapiskan supaya tektur puding lebih halus.
  3. Kemudian tuang ke dalam loyang berisi gula hangus tadi.Tutup dengan aluminum foil.Kukus selama 40min (hingga masak)
  4. Setelah masak, biarkan puding sejuk terlebih dahulu dan simpan dalam peti ais selama 4jam (jangan terbalikkan puding semasa masih panas.Puding akan pecah/hancur)
  5. Terbalikkan puding dan puding karamel sedia dihidang.Selamat Mencuba.
Note lina pg
  • Untuk bahagian karamel, lina pg tidak menggunakan air kerana tektur gula mudah bergumpal atau membentuk kristal dan agak lambat mencair.Terpulang cara masing-masing jika suka campur dengan sedikit air, boleh masukkan air semasa proses membuat karamel.
  • Bahagian tidak terlalu manis, jika suka lebih manis boleh lebihkan susu pekat atau boleh tambah gula 1-2 sudu besar.

Sunday, May 9, 2021

Resepi Sizzling Mee Mudah Dan Sedap Tanpa Hot Plate

 Assalamualaium..

Hai semua di hujung-hujung ramadan ni selera makan pun dah lain sangat.Kadang-kadang sampai tak tahu nak makan apa?Kat rumah kami sekarang ni kuih pun dah tak buat, makan pun ala kadar sahaja sekadar alas perut.Kalau dah jemu makan nasi dan rasa nak tukar selera apa kata korang cuba sizzling mee pula untuk berbuka.Selalunya sizzling mee ni kita order di food court kan?Sebenarnya mudah sangat nak membuatnya.Kalau tak ada hot plate yang hitam tu pun tak apa, kita guna jer pan/kuali yang ada kat rumah.Tak ada yee mee pun boleh buat guna mi kuning biasa.Kalau rasa malas nak buat satu persatu tu boleh tiru cara mengelat macam saya buat ni hehee..Lagi senang.Serve terus jer dan telur kita masak asing.Lagi cepat.Kalau nak buat satu persatu makan masa jugaklah kalau semua nak buat masa dekat berbuka huish lama juga tu kan

hot platr homemade, resepi sizzling mee,sizzling yee mee,
ni versi masak satu per satu

hot platr homemade, resepi sizzling mee,sizzling yee mee,
ni cara mengelat terus

Resepi Sizzling Mee Tanpa Hot Plate

by malina lina pg http://linapg.blogspot.com/

Bahan A (Perap)

500g ayam (potong kecil)

garam 

serbuk lada sulah

serbuk lada hitam kasar

Cara:

Satukan semua dan perap 10min.


Bahan B

2 inci halia (hiris kasar)

5 ulas bawang putih (tumbuk)

7 tangkai cili kering 

Daun bawang (bahagian batang)

3 sb sos tiram

3 sb kicap manis

2 sb kicap cair

1 sb kicap mee (untuk warna gelap)

5-6 ketul cendawan shiitake (belah 4)

4 cawan air

2 sb tepung jagung (bancuh dengan sedikit air)

1 kiub ayam

Minyak untuk menumis


Bahan C

Mee kuning/yee mee/apa-apa mee yang sesuai (celur sekejap)

Telur

Sayur sawi (celur)

Cili jeruk (klik link untuk resepi cili jeruk)


Cara-Cara

  1. Panaskan minyak tumis halia, bawang putih,cili kering dan daun bawang hingga garing.
  2. Masukkan ayam,gaul rata, tutup periuk dan biar ayam kecut.
  3. Masukkan sos tiram,kicap manis,kicap cair, kicap mee dan gaul mesra dengan ayam.
  4. Kemudian masukkan cendawan shiitake gaul rata dan masukkan air untuk kuah.Tutup periuk dan biarkan ayam empuk.
  5. Kemudian masukkan kiub ayam dan bancuhan tepung jagung.Reneh sekejap hingga kuah pekat.Tutup api.
  6. Cara menghidang panaskan pan letakkan sedikit mee (yang telah dicelur)letakkan kuah sizzling mee,pecahkan telur dan letak sayur sawi.Tutup pan dan biarkan telur set.Sizzling mee sedia dihidang bersama cili jeruk.
  7. Cara kedua letakkan mee ke dalam pinggan, tuang kuah sizzling mee,letakkan telur mata dan sayuran.Mee siap dimakan hehee..Ini cara mengelat.
  8. Untuk video tutorial boleh klik paparan di bawah

Saturday, May 8, 2021

Swiss Tart Cookies Rangup Dan Gebu Resepi Mudah & Sedap | swiss tart strawberry malina lina pg

 Assalamualaikum....

Hai semua dan banyak ke buat biskut raya?Kat rumah kami ni asal buat jer habis hahaa..Tapi tak kisahlah tahun ni memang beraya rumah sendiri jer dan bukan ada tetamu sangat pun.Buat biskut raya sekadar nak meriahkan suasan bagi ada feel siket nak sambut raya.Bila ada haruman biskut dalam rumah barulah terasa hari raya semakin hampir.Raya tetap kena sambut tapi dalam keadaan serba sederhana.Tahun ini sempat juga beli baju raya untuk anak-anak memandangkan tahun lepas memang pakai yang mana ada jer.Tahun ni kena beli juga sebab dah tak muat especially dak sarah tu la,kalau si kakak masih ok sebab badan tak naik sangat.Budak-budak tengah membesar kejap jer baju dan pendek.Bukan makin besar tapi makin tinggi hehee...

Bebel panjang pasal raya, jom kembali ke pangkal jalan.Biskut swiss tart ni nampak viral sangat seminggu dua ni, kita pun terjebak jugaklah.Saya buat swiss tart strawberry kalau nutella tu ada yang tak makan pulak.Rasa dan tektur biskut ni macam Butter cookies yang dalam tin tu.Biasanya mak-mak akan buat bekas jarum dan benang.Haaa boleh imagine kan biskut tu memang lejen betoi tu.Sedap tau ranguppppp, gebu dan cair dalam mulut.

Biskut ni saya buat 2 versi satu yang plain dan satu lagi saya masukkan sedikit coklat rice.Kalau korang nak masukkan coklat rice jangan banyak sangat tau takut termanisss pulak.Kurangkan manis dalam makanan tapi tambahan manis dalam senyuman cia...cia...cia

resepi swiss tart, swiss tart cookies,resepi swiss tart strawberry, swiss tart nutella, resepi tart sukatan cawan,

resepi swiss tart, swiss tart cookies,resepi swiss tart strawberry, swiss tart nutella, resepi tart sukatan cawan,
swiss tart kelopak dia tak jatuh..menten macam tu jer

Swiss Tart Cookies Rangup Dan Gebu
by malina lina pg http://linapg.blogspot.com/
Bahan
125g mentega tulen (lina pg guna brand anchor)
45g gula aising (1/3 cawan)
1 sk esen vanila
45 g tepung jagung (1/2 cawan)
115g tepung gandum (1 cawan)
1 sb coklat urai (coklat rice)
jem strawberi secukupnya

Cara-Cara
  1. Satukan butter dan gula aising gaul sekadar sebati sahaja.Kemudian masukkan esen vanila
  2. Masukkan tepung jagung, gaul terlebih dahulu.
  3. Kemudian masukkan tepung gandum.Uli hingga menjadi doh yang lembut.
  4. Bahagikan kepada 2 bahagian.Satu biarkan warna asal dan satu bahagian lagi masukkan coklat rice.Gaul sekadar bercampur sahaja.Jangan over mix.
  5. Masukkan adunan ke dalam piping beg dan gunakan open/close star nozle.
  6. Paipkan adunan mengikut kreativiti masing.
  7. Kalau guna nozle close star buat lubang sedikit supaya senang untuk letakkan jem strawberry.
  8. Paipkan jem strawberry di bahagian tengah.
  9. Bakar suhu 150'c selama 30min (suhu dan tempoh membakar bergantung kepada jenis oven masing-masing) selamat mencuba

Wednesday, May 5, 2021

Resepi Ayam Singgang Kelantan | Singgang Merah Kelantan

 Assalamualaikum...

Hai semua hari ni saya nak share satu resepi yang terkenal di negeri Kelantan iaitu singgang atau 'singge'.Kalau di Kelantan singgang selalunya dimasak mengguanakan daging.Terdapat 2 jenis singgang iaitu singgang yang warna jernih seakan sup dan satu lagi ialah singgang merah.Singgang merah femes semasa raya haji selalunya mak-mak atau tok akan masak daging tetel campur tulang-tulang.Mana pula datangnya warna merah tu, merah tu dari budu dan cili kering hehee..Singgang ni memang sangat sesuai kalau buat juadah berbuka puasa kerana rasanya yang masam,masin dan pedas-pedas dapat membuka selera dan juga dapat trigger lidah kita dari rasa payau/pahit tekak lepas seharian berpuasa.Resepi pula sangat mudah lebur jer semua tunggu ayam/daging masak.Tak perlu tumis pun.

singgang ayam ni saya buat dah lama, gambar memang hilang terus dah.Nasib jugak ada sekeping dalam hp.


Ayam Masak Singgang / Singge Ayam
by malina lina pg http://linapg.blogspot.com/
Bahan
12 ketul ayam 
7 tangkai cili kering 
7 ulas bawang merah (mayang) 
3 ulas bawang putih (mayang) 
2 batang serai (ketuk) 
2 cm halia (mayang) 
2 cm lengkuas (mayang) 
1-2 sudu besar budu 
1 cm gula nisan/gula melaka 
1 sudu besar ketumbar biji (tumbuk kasar) 
5 asam keping 
garam, 
perasa 
air secukupnya
cili padi (jika suka pedas)

Cara-Cara
  1. Dalam periuk, satukan ayam, ketumbar, serai, cili kering, lengkuas, halia, bawang merah,bawang putih,gula nisan/nisan kerek, budu dan asam keping.Tutup periuk dan masak menggunakan api kecil.Reneh sekejap.
  2. Apabila air ayam telah keluar dan mesra dengan bahan rempah, masukkan air secukupnya untuk kuah, garam, perasa/seasoning.Tutup periuk dan biarkan ayam empuk.Akhir sekali masukkan cili padi (jika suka lebih pedas).Tutup api, ayam singgang sedia untuk dinikmati.Selamat mencuba.

Monday, May 3, 2021

Resepi Udang Masam Manis Resepi Ringkas Dan Sedap | udang masam manis chinese style

Assalamualaikum...
Hari ini saya nak kongsikan satu resepi lauk yang sangat ringkas.Selalunya kalau chinese style ni cara masaknya memang sangat mudah.Tak perlu berlama-lama kat dapur.Tak perlu beriya nak menumis, memang sap sap soi sungguh yang penting rasanya memang tip top.Rasa masam manis pedas-pedas manja memang sesuai dijadikan juadah untuk berbuka.Memang membuka selera.


resepi udang masam manis, cara masak udang sweet sour, udang masam manis chinese style, prawn sweet sour,

UDANG MASAM MANIS CHINESE STYLE
by malina lina pg http://linapg.blogspot.com/
Bahan-Bahan
16 ekor udang
1/2 labu bawang holland (dadu)
1/2 biji lada banggala (capsicum) dadu
5 ulas bawang putih (cincang)
4 sudu besar sos cili
2 sudu besar sos tiram
1/2 sudu besar sos tomato
2 potong nenas (dadu)
1/2 sudu besar tepung jagung
1/2 cawan air
Cili merah dan cili hijau
Daun bawang (hiasan)
sedikit gula
garam
serbuk kunyit
serbuk lada putih
minyak 

Cara-Cara
  1. Perasakan udang dengan sedikit garam, kunyit,serbuk lada putih dan gaul dengan tepung jagung.
  2. Panaskan minyak, goreng bawang holland (goreng beberapa saat sajaha) angkat dan toskan kemudian goreng lada banggala kaedah yang sama iaitu goreng tarik minyak.Goreng api besar sekadar beberapa saat sahaja.Angkat dan ketepikan.
  3. Kemudian goreng udang hingga masak.Angkat dak ketepikan.
  4. Keluarkan lebihan minyak, tinggal sedikit untuk menumis.
  5. Tumis bawang putih hingga garing,masukkan sos cili,sos tiram,sos tomato dan sedikit gula.Tumis hingga pecah minyak.
  6. Masukkan potongan nenas, dan masukkan air supaya nenas cepat lembut.
  7. Setelah nenas agak lembut,masukkan udang yang telah digoreng tadi.Gaul rata kemudian masukkan cili merah dan cili hijau TUTUP API.Gaul rata kemudian masukkan bawang holland dan lada banggala (yang telah digoreng tadi) dan tabur daun bawang.Siap untuk dihidang.Selamat Mencuba

Sunday, May 2, 2021

Rendang Ayam Tanpa Santan Resepi Simple Mudah Dan Sedap

 Assalamualaikum....

Awal betul dah merendang, sajalah nak share idea bagi sesiapa yang nak buat rendang versi yang berbeza.Selalunya kalau masak rendang kita akan guna santan kan?tak kiralah sama ada santan segar atau santan kotak.Tetapi kali ini saya menggunakan susu sejat menggantikan santan.Memang sedap tau.Rendang tetap cantik berlinang seakan sama rupa paras rendang yang menggunakan santan.Rasa lemak-lemak susu sejat menyedapkan lagi rasa rendang.

resepi rendang ayam,resepi rendang, rendang ayam simple,resepi rendang mudah dan sedap,resepi rendang ayam guna susu cair,rendang ayam tanpa santan,resepi hari raya,rendang ayam malina lina pg,rendang ayam tanpa santan linapg,
Cantik kan kombinasi warna rendang ni, naik berselera kalau kita tengok.Hurmm lepas ni kalau ke market/pasar nak beli santan untuk buat rendang tapi santan habis, jangan risau guna jer susu cair/susu sejat insyaaAllah rendang tetap sedap

RENDANG AYAM TANPA SANTAN
by malina lina pg http://linapg.blogspot.com/
Bahan²
1 ekor ayam (atau 1kg daging) 
15g rempah rendang (½ paket kecil) 
150ml minyak masak 
4 sudu besar Kerisik
2 sudu kecil pes asam
4 helai daun limau purut 
2 helai daun kunyit, potong nipis 
2 sudu kecil geram 
2 sudu besar gula merah  
1 tin susu sejat (susu cair) 

bahan rempah (kisar) 
6 biji bawang besar
8 ulas bawang putih
2 inci kunyit 
2 inci halia 
2 inci lengkuas 
6 batang serai 
100g pes cili giling (anggaran 3 sudu besar) 
4 sudu besar minyak masak

Cara-Cara
  1. Kisar semua rempah menjadi pes.
  2. Panaskan periuk saiz serdahana dengan minyak, tumis rempah adunan selama 15min atau beraroma dan pecah minyak.
  3. Masukkan serbuk rempah rendang dan masak selama 2min. 
  4. Masukkan ayam, masak dengan api kecil selama 30min, sehingga daging/ayam masak.
  5. Masukkan kerisik, daun limau purut, daun kunyit, dan pes asam jawa. Masak selama 2min.
  6. Masukkan susu sejat/susu cair, garam dan gula. Biarkan masak selama 15min sehingga kuah jadi pekat.Reneh lebih lama sekiranya suka rendang yang lebih kering.Lina pg suka rendang yang basah-basah lebih sedap makan dengan ketupat barulah kuahnya berpalut
  7. Keluarkan rendang dan hias dengan daun kunyit.Selamat mencuba.Video tutorial klik paparan di bawah

Saturday, May 1, 2021

Air Soda Herbs Sungguh Menyegarkan

 Assalamualaikum....

Hai semua dah ada idea nak buat minuman apa untuk berbuka?Kalau belum ada idea,bolehlah cuba air soda herbs ni.Kombinasi bahan-bahan yang digunakan sungguh beraroma dan sangat menyegarkan selepas seharian kita berpuasa.Mula-mula saya pun agak risau sebab resepi soda herbs ni ada dimasukkan serai,haish tekak boleh terima ke tak ni?Rupanya memang sedap.Aroma serai dan daun pudina tu menaikkan selera, ada pulak rasa masam-masam manja dari perahan lemon dan manis dari asam boi tu pergg memang sedap sungguh la resepi pun senang main tuang-tuang dalam jag dah siap.

air soda herbs, resepi soda herba,cara buat soda pudina,aiskrim soda,cara  buat soda lemon, air lemon asam boi,air buka puasa,

AIR SODA HERBS
by mallina lina pg http://linapg.blogspot.com/
Bahan Bahan
1 tin laici/longan (ambil buah sahaja)
1 biji lemon 
5 biji asam boi
1 batang serai
daun pudina
ais krim soda secukupnya
ais secukupnya

Cara-Cara
  1. Sediakan jag atau mangkuk besar.Masukkan ais secukupnya.
  2. Masukkan hirisan lemon,daun pudina, serai,asam boi,buah laici/longan.
  3. Perahkan jus lemon.Tuang ais krim soda hingga memenuhi bekas/jag.
  4. Air soda herbs sedia dihidang.Selamat mencuba

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...