Sunday, October 31, 2021

Ikan Masak Kicap Simple

 Assalamualaikum semua...

Selamat berhujung minggu semua, hari ini hujan jadinya masih tak ke mana-mana walaupun plannya nak juga keluar jalan-jalan memandangkan semua pun dah 'fully vaccinated' tak apalah kita duduk di rumah diam-diam sudah.

Minggu lepas bukan main rancak update blog, ingatkan istiqomah la update setiap hari, rupanya hangat-hangat taik ayam jer hahahaa...Resepi masih banyak yang tertangguh menunggu giliran masuk ke blog TMK.Untuk hari ini saya post resepi ikan masak kicap terlebih dahulu (resepi jump Q la ni) resepi saya di post di IG, meriah jugaklah sambutannya.Dalam pada malas nak tulis resepi, tapi bila ramai yang request taip jugaklah hehee.Alang-alang gambar pun dah snap (snap cincai jer guna hp old buruk) kita post lah dalaam blog.Manatau ada yang nak mencuba.

ikan masak kicap, resepi ikan, idea lauk ringkas, lauk ikan, ikan goreng kicap,ikan masak kicap malina lina pg,


Ikan Masak Kicap

by malina lina pg http://linapg.blogspot.com/

Bahan-Bahan

4 keping ikan (lina pg guna ikan jenahak)

5 ulas bawang merah (tumbuk)

3 ulas bawang putih (tumbuk)

½cm halia tumbuk

2 inci halia (mayang halus)

Cili merah/cili hijau & tomato

2 sb kicap manis

2 sb sos tiram

1 sb sos ikan

garam+kunyit

Minyak

Air (untuk kuah) 


Cara-Cara

  1. Perasakan ikan dengan garam dan kunyit. Goreng hingga masak (jangan terlalu garing). Angkat dan ketepikan.
  2. Keluarkan minyak, tinggal sedikit untuk menumis. Tumis halia yang dimayang dan juga bahan tumbuk hingga garing.
  3. Masukkan kicap, sos tiram, sos ikan dan masukkan air (untuk kuah).
  4. Masukkan ikan (yang telah digoreng tadi) cili dan tomato. Kacau sebentar. Kemudian tutup api. Siap
Note:
Boleh guna ikan kembung, selar dan sebagainya.

Sunday, October 24, 2021

Cara Buat Mee Kicap Ipoh Simple Mudah Dan Sedap

 Assalamualaikum semua....

Nampak tak bukan main rajin beliau update blog.Kira marathon la ni sebab banyak resepi yang tertangguh dalam folder.Ni kira nasib baik juga sebab ada resepi dan video di youtube.Kalau tak ada resepi, agaknya memang tak ingat dah apa bahan yang dimasukkan dalam resepi.

Bercerita mengenai mi kicap ni, sebenarnya suami saya suka makan mi kicap.Setiap kali hujung minggu beliau ke 'merket' (bahasa utaqa) iaitu pasar basah dan berdekatan dengan merket tu ada jual mi kicap ipoh dan juga mi kari ipoh.Kalau saya tengok rupa paras mi kicap agak kureng menarik (pada pandangan mata saya) sebab tak ada apa, cuma mi, kuah kicap 'ceroi' (cair) sedikit tauge kat atas tu.Itu saja.Sudah tentulah saya order makanan lain.Bila makanan sampai, suami suruh saya rasa siket.Kita pun makan la sesuap dua.Mak aih sedap rupanya.Moral of the story 'don't judge book by it's cover' hahahaa.Walaupun penampilan mee kicap ni biasa-biasa saja tapi rasanya memang sedap.Lepas tu bila datang ke gerai tersebut saya pun sudah berani order mi kicap.Ini cerita through back sebelum PKP.Dan hari ini kami ke merket dan dine in kat kedai tu.Setelah sekian lama tak dine in hahaa.Balik dari pasar terus semangat berkobar-kobar update blog resepi mi kicap yang saya buat dah lama (semasa PKP 2021) lama kan tak boleh keluar dine in.Nak makan kenalah buat sendiri.

Resepi mi kicap ipoh ni saya inspirasikan dari Linda hashim (isteri Beego) beliau ada berkongsi resepi mi kicap asli dalam Aroma Tradisi TV3.Bila tengok siaran tu, mak aih senang sangat nak buat mi kicap.Pertama kali buat, saya tak shoot video takut hasilnya ke laut.Maklumlah tak pernah buat kan?Cuma makan kat gerai sahaja.Bila hasilnya memang memuaskan.Saya olah sedikit supaya hasilnya lebih padu.Kita ni kalau ambil idea orang lain, jangan lupa bagi credit ye dak.Jangan serba serbi nak claim sendiri punya.Memasak pun kena ikhlas tak kiralah sehebat mana kedudukan seseorang tu.

Mi kicap ipoh yang saya buat kuahnya agak gelap sedikit sebab saya masukkan kicap mi/kicap pekat.Kalau tak ada kicap mee boleh skip sahaja tapi kuahnya nampak cerah siketlah.Menurut Linda cara makan mi kicap, mi digaul dengan kuah kicap dan dihidang bersama sup kosong.Tapi yang saya makan di gerai, kuah mi diletakkan di bahagian bawah dan mi di bahagian atas.Tidak digaul.Bila nak makan kita kena gaul sendiri.Jadi cara hidangan bergantung kepada kreativiti masing-masing.

resepi mi kicap ipoh, mee kicap ipoh, cara buat mee kicap ipoh yang simple dan sedap, mee kicap recipe,
mi kicap ipoh ni simple dan siap dalam masa 20min gitu jer.Cepat mudah dan sangat sedap.

Resepi Mi Kicap Ipoh Sedap Dan Mudah
By Malina Lina Pg http://linapg.blogspot.com/
Inspired by Linda hashim (Aroma Tradisi)
Tutorial YouTube Malina Lina Pg https://youtu.be/c3LrdBjQZno
Bahan A (Sup)
6 ulas bawang putih (tumbuk kasar)
1 inci halia (hiris tebal)
1400ml air
300g fish cake
160g fish ball
1+1/2 kiub ikan bilis
Serbuk lada sulah
garam (jika perlu)

Cara-Cara
  1. Panaskan sedikit minyak, tumis halia dan ambil separuh sahaja bawang putih yang ditumbuk (lagi separuh guna untuk kuah kicap).Tumis hingga bawang putih sedikit garing.
  2. Masukkan air (untuk kuah), kiub ikan bilis, serbuk lasa sulah.Biarkan kuah mendidih.Kemudian masukkan fish ball dan fish cake. 
  3. Sesuaikan rasa (tambah garam jika perlu)Biarkan kuah mendidih.Siap dah siap.

Bahan B 
Bawang putih yang ditumbuk (ambil separuh dari bahan A)
3 sb sos tiram
1 cawan kicap lemak manis
1 sb kicap mee/kicap pekat
1/2 kiub ikan bilis
1/2 sb jus lemon/limau nipis
1/2 cawan sup (sup bahagian A)
serbuk lada sulah
minyak

Cara-Cara
  1. Panaskan minyak, tumis bawang putih hingga garing.Masukkan sos tiram tumis sebentar hingga aroma sos tiram bangkit.
  2. Masukkan kicap lemak manis dan serbuk lada sulah.Kemudian masukkan kicap mee/kicap pekat (supaya warna kuah lebih gelap)
  3. Masukkan kiub ikan bilis, jus lemon/limau nipis dan sup.Renehkan sebentar.Kuah Kicap dah siap

Bahan Lain
500g mi kuning (celur)
tauge 
daun bawang (hiasan)
bawang goreng(jika suka)
hirisan cili

Note:
Cara menghidang, tuang sedikit kuah kicap ke dalam pinggan.Kemudian letakkan mi yang telah di celur.
Letak sayuran (tauge/sawi atau apa sahaja)
Hidangan sampingan sup dan cili potong.

Saturday, October 23, 2021

Ada Dada Ayam Tak Tahu Nak Masak Apa?jom buat ayam popcorn juicy dan rangup di luar | ayam popcorn sedap malina lina pg

 Assalamualaikum...

Selamat berhujung minggu semua.Kebetulan tak ke mana-mana pun hujung minggu ini.Merajinkan diri untuk update blog.Kat rumah saya ni, kalau bahagian dada ayam memang kena buat sesuatu, kalau jadi lauk...part dada tu la yang akan last sekali diambil.Agaknya sebab banyak isi kot haha.Kalau paha, kepak laju pakat berebut.Biasanya isi ayam atau bahagian dada ni saya akan asingkan, untuk masukkan dalam bihun goreng, mi kari atau jadikan sebagai ayam goreng kunyit.Bila dah banyak sangat kenalah olah supaya laku keras.Alhamdulillah bila buat popcorn chicken ni laju jer habis.Kudap-kudap sambil layan movie kat netflix memang best.Ayam popcorn resepi kali ini sangat mudah dan gerenti jadi punya.Ada tips supaya ayam juicy di bahagian dalam dan bahagian luar tu rangup jer.Rahsia supaya ayam juicy ialah letakkan sedikit lemon/jus limau nipis dan perap ayam sebentar sebelum kita salut dengan tepung goreng.Resepi ayam popcorn saya cuma guna tepung goreng ayam yang sedia ada terjual di pasaran cuma saya tambah sedikit tepung beras/jagung supaya kurang masin dan menyerlahkan lagi kerangupan salutan ayam.Satu lagi rahsia yang merangupkan ayam popcorn ialah setelah salut ayam dengan tepung, celup dalam air sejuk (air ais) Jadi kita akan salut ayam sebanyak 2x.Kalau rajin boleh buat ulang kali.Salutan akan lebih cantik.Boleh tonton di youtube malina lina pg ya..nanti saya bagi link

cara buat ayam popcorn, resepi ayam popcorn, popcorn chicken recipe, dada ayam nak buat apa,isi ayam nak masak apa, resepi popcorn chicken sedap,
Ayam popcorn ni saya buat masa bulan Ogos lagi, tu dia haih dan nak hujung bulan Oktober baru masuk ke blog TMK.Punya lama dia dok tunggu Q.
cara buat ayam popcorn, resepi ayam popcorn, popcorn chicken recipe, dada ayam nak buat apa,isi ayam nak masak apa, resepi popcorn chicken sedap,
Ada isi ayam tapi tak tahu nak buat apa?Cuba buat ayam popcorn ni...Laku keras

Resepi Ayam Popcorn Sedap Dan Mudah
by malina lina pg http://linapg.blogspot.com/
Video Tutorial youtube lina pg https://youtu.be/rljWlg_GXJw
Bahan-Bahan
280g dada ayam (3 ketul)
1 cawan tepung goreng ayam
1 sb tepung beras
1 sk serbuk kari
jus lemon (lina pg guna anggaran sebelah)
serbuk lada hitam kasar
maggi cukuprasa/garam
air sejuk (peti ais)
minyak

cara-cara
  1. Potong dada ayam anggaran 1cmx1cm.Perah jus lemon.Masukkan serbuk lada hitam kasar, maggi cukuprasa.Kemudian perap selama 30min (lagi lama lagi sedap)
  2. Dalam mangkuk berasingan, satukan tepung goreng ayam, serbuk kari dan tepung beras.Gaul sebati semua bahan kering.
  3. Ambil satu sudu besar campuran tepung masukkan ke dalam bekas ayam dan masukkan anggaran 2 sudu besar air sejuk.Gaul rata supaya ayam bersalut nipis.
  4. Sediakan 2 bekas.Satu bekas masukkan campuran tepung dan satu bekas lagi isikan dengan air sejuk.
  5. Salut ayam dengan tepung dan celup ke dalam air sejuk.Toskan ayam dari air sejuk dan salut sekali lagi dengan tepung.Ulang proses hingga ayam habis.
  6. Panaskan minyak dan goreng ayam hingga kuning keemasan.Ayam popcorn sedia dihidang.

Friday, October 22, 2021

Resepi Gulai Darat Kelantan | Tips cara Masak Gulai Ayam Kelantan Tanpa Tumis | malina lina pg

 Assalamualaikum...

Kembali bersiaran di hari Jumaat.Pada mulanya tak berapa rajin nak buat n3 hari ini.Macam biasalah ketandusan idea untuk mengarang.Memandangkan hari ni ialah 22hb Oktober 2021 merupakan hari istimewa bagi blog Teratak Mutiara Kasih, gigih jugalah buat posting.

Happy Bloggersary 2009-2021 tak sangka rupanya sudah 12 tahun blog kesayangan saya ni wujud.Walaupun semakin kurang rancak, tapi tetap update juga walaupun agak ketinggalan.Terima kasih buat semua yang tak jemu datang berkunjung ke sini.

Okey berbalik kepada resepi kita hari ini iaitu gulai darat ayam kelantan.Apa beza gulai darat dengan gulai biasa?gulai darat kelantan sebenarnya ada rempah khas dia iaitu rempah gulai darat.Kalau tak ada pun tak mengapa kita boleh olah rempah kari biasa menjadi rempah darat.Satu lagi keistimewaan gulai darat ialah gulai ini tidak perlu ditumis dan tidak menggunakan rempah penumis.Rempah 4 sekawan tu la.Cara masak gulai darat sangat simple, leburkan semua sekali.Dan yang paling best kalau masak guna api kecil kita reneh jer sampai ayam empuk.Cara ini akan menjadikan isi ayam sebati dan mesra dengan rempah.Kaedah memasak gulai darat ini saya inspirasikan dari MIL tapi saya olah mengikut kesesuaian dan citarasa sendiri supaya gulai darat jadi lebih padu.Gulai darat yang cantik bila direneh lama akan jadi pecah minyak dan gulai akan tahan lama.Kalau mengikut resepi asal gulai darat kelantan memang tak letak kentang.Saya letak juga sebab nak makan dengan roti jala.Sekurang-kurangnya ayam habis, bolehlah makan dengan kentang tu.Takkan kuah semata pulak kan

gulai darat ayam kelantan, resepi gulai darat, gulai ayam tanpa tumis, gulai darat malina lina pg,resepi kelantan,
Walaupun gulai ini tidak ditumis tapi rasanya padu tau.Ada keunikannya tersendiri berbanding dengan rasa rempah yang tumis

Gulai Ayam Kelantan
bahan kisar
1 labu bawang besar (kisar)
5 ulas bawang merah (kisar)
5 ulas bawang putih (kisar)
1 cm halia (kisaar)
1 cm lengkuas (kisar)
minyak
air

bahan lain
12 ketul ayam
3 sb kerisek 
1 paket serbuk kari ayam (25g)
1 sb serbuk sup/rempah kurma
1 sb serbuk cili
1 sb budu
1 cawan santan pekat (linapg guna santan kotak)
2 biji kentang (optional)
lada solok (jika ada) masukkan akhir sekali
sedikit gula merah (atau gula nisan)
asam keping
air secukupnya untuk kuah
garam dan perasa

Cara-Cara
  1. Masukkan ayam ke dalam periuk.Tuang bahan kisar.Masukkan rempah kari ayam, rempah kurma, serbuk cili, gula merah/gula nisan, asam keping, kerisik, budu dan garam.
  2. Gaul rata semua bahan ini dan kalau ada masa, perap sekejap selama 30min.Lagi lama lagi sedap kerana bahan perapan, mesra dengan ayam.
  3. Kemudian buka api kecil dan tutup periuk.Masak hingga ayam kecut.Jangan lupa kacau sekali sekala supaya tidak hangus di bahagian bawah.
  4. Kemudian masukkan santan, air secukupnya untuk kuah dan juga masukkan kentang.
  5. Biarkan mendidih dan ayam empuk.Akhir sekali sesuaikan rasa.Tambah garam dan perasa (jika perlu).Kalau ada lada solok bolehlah dimasukkan juga.
  6. Gulai darat ayam kelantan dah siap.
TIPS lina pg
Kisar bawang dan semua bahan lain menggunakan minyak, hasilnya gulai darat akan cantik (pecah minyak)
Kalau tak ada rempah darat, boleh guna cara optiona iaitu campurkan rempah kari ayam dengan rempah kurma.

Monday, October 11, 2021

Cara Buat Muffin Vanilla Simple Mudah Dan Sedap | resepi muffin vanila guna air fryer

 Assalamualaikum...

Hai semua tengah packing barang nak merentas negeri tu?Amboi seronok la ye semalam PM umumkan mulai hari ini 11hb Oktober 2021 dah boleh rentas negeri, bolehlah balik kampung jumpa keluarga, pergi bercuti dan bebas ke sana ke sini.Kepadad yang nak mulakan perjalanan tu hati-hati di jalan raya dan sila patuhi SOP ya.Kami sekeluarga belum ke mana-mana masih lagi stay at home.Saya sendiri pun 'belum habis pantang 14 hari' haha.Bila MySejahtera dan bertukar kuning, bolehlah bawa anak-anak bercuti sambil bertukar angin.

Okeylah berbalik kepada tajuk posting kita hari ini iaitu muffin vanila.Resepi muffin vanila yang saya buat ini adalah yang paling basic dan sangat senang.Kebiasaaannya resepi muffin akan menggunakan susu cair atau susu segar.Tetapi resepi muffin ini TIDAK menggunakan sebarang susu, hanya tepung,gula,telur dan mentega campuran/marjerin sahaja.Walaupun hanya menggunakan bahan basic tetapi hasilnya sangat memuaskan.Berkerak,sedikit garing dan kasar di bahagian luar, lembut dan moist di bahagian dalam.Bila makan muffin ini tetap terasa sedikit bersusu macam magik pulak mana datangnya rasa susu tu?Rupanya vivo golden butteri memberi impact rasa lemak-lemak bersusu yang semulajadi.Kalau yang nak berniaga sesuai sangat guna resepi ni sebab tak payah beli susu dah cuma guna butter vivo sahaja.Jimat kos dan hasilnya agak banyak.Kalau nak tahu lebih banyak info mengenai vivo golden butter boleh baca di posting saya sebelum ini kat SINI  

Sebenarnya agak ramai juga yang confuse/keliru antara muffin dan cupcake.Cupcake atau kek cawan adalah KEK dalam saiz kecil atau dibuat dalam bentuk cawan atau cup.Rasa dan tekturnya adalah sama seperti kek iaitu lembut dan gebu.Kaedah memasak cupcake boleh dibuat 2 cara iaitu membakar atau mengukus.Manakala muffin pula adalalah tergolng dalam 'keluarga' pastry.Bila pastry ia hanya boleh dibakar sahaja.Tapi ramai jer main kukus haha.Bila muffin dikukus hasilnya tidaklah seperti muffin kerana di bahagian ataskan akan 'flat' atau rata.Tektur muffin setelah dibakar akan naik membukit/menggunung sedikit merekah, garing dan agak kasar.Bila pegang boleh rasa sedikit keras.Manakala di bahagian dalamnya pula agak lembut dan moist.Tips penting untuk mendapatkan tektur muffin yang betul ialah kaedah/teknik pembuatannya dan suhu membakar memainkan peranan.

resepi muffin vanilla, muffin vanila, resepi muffin vanila sukatan cawan, cara mudah buat muffin, muffin vanilla air fryer,

Mengikut pengalaman saya, selalunya muffin yang baru siap dibakar akan jadi agak kering (kurang moist) lepas semalaman barulah makin lembab.Tetapi bila saya guna resepi ini dan juga vivo golden butteri, hasilnya memang moist, kami sekeluarga makan terus semasa panas-panas lagi.Kalau tengok kat gambar ni pun memang dah terserlah muffin ni lembab gitu.Ini kalau tak silap saya, baru 20min lepas bakar.

resepi muffin vanilla, muffin vanila, resepi muffin vanila sukatan cawan, cara mudah buat muffin, muffin vanilla air fryer,
Kerap juga yang komen atau DM saya tanya kat mana nak beli vivo golden butteri ni.Ramai yang ingat saya jual butter ni hehe.Sebenarnya saya tak jual, saya cuma pengguna sahaja.Bagi yang berminat nak cuba butter ni boleh beli dari kedai menjual barangan kek yang berhampiran.Kalau tak jumpa, kena tanya tuan kedai.

Resepi Muffin Vanilla Mudah Dan Sedap
by malina lina pg http://linapg.blogspot.com/
recipe provided by vivo golden butteri official
Bahan-bahan
300g vivo golden butteri
250 tepung kek 
250g telur (5 biji telur gred B)
200g gula kastor
5g baking powder (1 sudu kecil)
3g baking soda (1/2 sudu kecil)
5g esen vanilla (1 sudu kecil)
50g coklat chip
30g kranberi kering (dried cranberries)

Cara-Cara
  1. Masukkan mentega vivo golden butteri ke dalam periuk kecil,gunakan api perlahan.Cairkan dan biarkan sejuk.Boleh juga cairkan mentega menggunakan microwave.
  2. Ayak tepung bersama baking powder dan baking soda.
  3. Masukkan gula dan gaul gula bersama campuran tepung hingga sebati.
  4. Sekarang masukkan bahan basah pulak iaitu telur ke dalam adunan tepung sambil gaul dan masukkan esen vanilla.
  5. Masukkan vivo golden butteri ke dalam adunan tadi (pastikan butter telah sejuk) kemudian gaul hingga sebati.Jangan terlebih gaul nanti muffin akan menjadi kering.
  6. Akhir sekali masukkan coklat chips (separuh sahaja)tinggal sedikit untuk hiasan.Boleh juga masukkan buahan kering seperti sultana, kismis, saya masukkan sedikit kranberi kering kebetulan ada dalam peti ais.
  7. Sediakan souffle cup (lina pg guna saiz S) dan skop adunan anggaran 3/4 sahaja kerana muffin akan mengembang.
  8. Bakar dalam oven suhu 175 deg C selama 20min (hingga masak)
  9. Tonton video tutorial cara membuat muffin di youtube malina lina pg https://youtu.be/0VUXaPF2pAo

resepi muffin vanilla, muffin vanila, resepi muffin vanila sukatan cawan, cara mudah buat muffin, muffin vanilla air fryer,

resepi muffin vanilla, muffin vanila, resepi muffin vanila sukatan cawan, cara mudah buat muffin, muffin vanilla air fryer,
Resepi muffin ini boleh juga bakar menggunakan air fryer.Lebih cepat dan mudah cuma secara peribadinya agak kurang cantik sebab cup bentuk 4 segi.Saya bakar guna suhu 170deg C selama 8-10min.

Thursday, October 7, 2021

Cara Tanak Pulut Guna Rice Cooker Pulut Lembut Dan Sedap

 Assalamualaikum...

Semasa saya menaip untuk posting kali ini,saya nak tergelak pulak.Ya lah tajuknya pulut dan dimakan bersama dengan durian, sedangkan musim durian dah lama berlalu.Apa maksudnya tu kawan-kawan sekalian haha.Macam biasalah resepi ini saya buat semasa musim durian lagi iaitu bulan Julai.

Tak apalah kan walaupun musim durian dah berlalu, tapi pulutnya boleh dimakan bersama ikan kering juga kan untuk sarapan.Teknik masak pulut ni ada pelbagai.Ada setengah orang suka cara kukus dan ada juga yang buat versi tanak.Tapi bagi saya sendiri selalunya saya tanak jer dan cara saya sangat old skool iaitu tanak guna dapur gas haha.Versi tanak guna dapur gas saya pernah kongsikan di Youtube sebelum ini.Kali ini lebih senang kita guna rice cooker jer.Jika tekni masak pulutnya betul,insyaaAllah pulut tak berkerak tau.Hasilnya pulut lembut dan berkilat sama seperti kukus juga.

Bahan rahsia untuk dapatkan pulut yang berkilat ialah masukkan sedikit minyak masak.Hasilnya pulut lembut, cantik berkilat merelip merelap gitu.

cara buat pulut durian, cara tanak pulut, tanak pulut guna rice cooker, masak pulut, tips pulut lembut dan sedap, pulut durian tanak, durian musang king,durian kampung, pulut durian mudah dan sedap
Ini dia set pulut durian iaitu Pulut, Durian, Santan dan gula nissan.Ini cara lagend makan pulut durian.Kalau di utara ni ada satu lagi style iaitu buat kuah serawa atau pengat durian makan bersama pulut.

cara buat pulut durian, cara tanak pulut, tanak pulut guna rice cooker, masak pulut, tips pulut lembut dan sedap, pulut durian tanak, durian musang king,durian kampung, pulut durian mudah dan sedap
Santan ada rasa lemak-lemak kena letak gula nisan atau tabur sedikit gula barulah umphh..Tak payah banyak sangat tau sebab durian pun dah manis

Cara Masak Pulut Durian Style Lina Pg
Bahan-Bahan
by malina lina pg
Bahagian A (Pulut)
2 cawan beras pulut (lina pg guna pulut susu)
2 cawan air
2 sudu besar minyak masak
1 helai daun pandan
Sedikit garam

Cara:
  1. Cuci beras pulut hingga bersih dan toskan.Untuk buat pulut tanak, beras pulut tak perlu rendam.
  2. Masukkan beras pulut ke dalam rice cooker, kemudian masukkan air (sukatan air sama dengan sukatan beras pulut 1:1)
  3. Masukkan sedikit garam dan daun pandan.
  4. Lina Pg menggunakan rice cooker jenis lama (Ada lubang di bahagian penutup) balut penutup rice cooker dengan kain supaya wap tidak keluar.
  5. Tekan COOK dan biarkan pulut masak.
  6. Setelah KEEP WARM biarkan selama 5-8min barulah OFF.Pulut telah sedia dihidang
Bahagian B (Santan)
1 cawan santan pekat
1 cawan air
1 sudu besar tepung beras
sedikit garam
daun pandan

Cara
  1. Dalam periuk kecil, satukan santan, air, tepung beras, garam dan daun pandan.
  2. Kacau sekejap hingga mendidih dan nampak pekat sedikit.
Bahan lain
gula atau nissan (racik)
buah durian
lina pg guna durian kampung sahaja

Wednesday, October 6, 2021

Sardin Masak Paprik Resepi Ringkas Dan Sedap | paprik sardin malina lina pg

 Assalamualaikum...

Kembali bersiaran, sementara semangat update blog tengah membara ni, kita update sebanyak mungkin.Manatau kan hujung bulan ni direzekikan boleh merentas negeri hehe...Seronok tu boleh ke sana ke sini.

Semasa PKP ni saya sendiri pun kering idea sampai tak tahu nak masak apa.Kadang-kadang buka peti ais, lauk basah ada banyak pelbagai pulak tu.Tapi rasa tak tahu nak makan apa.Capailah sardin (tin)konon nak masak yang ringkas-ringkas jer.Jemu jugak kalau asyik makan ayam setiap hari.Haish bahan utama dah ada, tapi nak masak apa tak tahu pulak.Asyik-asyik buat sambal jer kalau sardin kan?Termenung kejap, belek-belek sayur.Dah plan nak masak simple maknanya lauk dan sayur sekali la kan?Daun limau pun banyak menjadi-jadi dalam pasu (masa tu la 2 bulan lepas)sekarang ni pokok pun dah kena potong.Tengok sayur dan daun limau purut rasa macam ngam jer kalau buat paprik.Paprik sardin menarik jugak tu.Goreng telur dadar kenyang la kami 3 beranak.Memandangkan masa tercari-cari idea ni masih awal lagi, saya pun rajin la siket untuk shoot video.Siaplah sardin paprik dalam masa 15min sahaja hehe. Sambil shoot video tu tanak nasi siap-siap.Bila dah siap photoshoot cuma goreng telur dadar jer.Terus makan dengan nasi panas-panas.

Okey jom kita semak resepi sardin masak paprik simple-simple ajer style lina pg

sardin, lauk sardin, sardin nak masak apa, sardin masak paprik,paprik sardin,sambal sardin,resepi sardin mudah dan sedap.idea masak sardin,
Punya lama sardin ni tunggu giliran nak masuk blog TMK.Bayangkan video ni saya shoot bulan Julai haha sekarang dah masuk bulan Oktober baru sampai giliran 'beliau'

Sardin Masak Paprik Style Lina Pg
by Malina Lina Pg http://linapg.blogspot.com/
Bahan-Bahan
1 tin kecil sardin (115g)
1 batang serai (ketuk/titik)
1/2 halia (jahe bahasa Indonesia) (tumbuk)
3 ulas bawang merah (tumbuk)
3 ulas bawang putih (tumbuk)
1 sb cili giling (cili kisar)
3 sb sos tiram
3 sb sos cili
3 helai daun limau purut
2 biji limau kasturi (ambil jus) boleh juga guna limau nipis
sedikit gula

sayuran kegemaran
Karot
Kacang buncis/kacang panjang
Bunga kobis (atau apa sahaja yang sesuai)

sedikit air (50ml) 
cili padi,cili merah
bawang holland (belah 6)
tomato (belah 6)
daun ketumbar 
minyak

Cara-cara
  1. Panaskan minyak, tumis serai dan bahan tumbuk hingga garing.
  2. Masukkan cili giling dan tumis hingga pecah minyak.
  3. Masukkan sos tiram, cili sos dan sedikit gula.Kacau sebentar.
  4. Kemudian masukkan daun limau purut, karot dan masukkan sedikit air.Kacau sebentar dan biarkan kuah mendidih.
  5. Masukkan sardin dan perah jus limau kasturi, sayur kacang buncis, cili padi, bawang holland dan buah tomato.
  6. Tutup periuk sekejap supaya sayuran lembut.
  7. Kemudian tutup api dan taburkan hirisan cili merah dan daun ketumbar untuk hiasan.Paprik sardin sedia dinikmati.
  8. Untuk video tutorial sila ke Youtube Malina Lina Pg atau klik butang PLAY paparan berikut

Monday, October 4, 2021

Resepi Pulut Lepa Kelantan | Pulut Panggang Inti Serunding Ikan | Pulut Lepo Malina Lina Pg

Assalamualaikum...
Kembali bersiaran dengan kuih tradisional pulak.Hari ini saya nak kongsikan resepi pulut lepa.Pulut panggang merupakan kuih tradisional negara kita.Terdapat pelbagai jenis pulut panggang.Kalau di kelantan pulut panggang inti serunding ikan juga dikenali sebagai pulut lepa atau panggilannya ialah pulut lepo.Pulut lepa terengganu seakan sama dengan pulut lepa kelantan iaitu menggunakan inti serunding ikan.Sedikit perbezaan ialah pulut panggang terengganu berwarna putih manakala pulut panggang kelantan berwarna sedikit kemerahan tetapi ada juga yang warna putih mungkin mengikut daerah.

Kalau di utara pula terkenal dengan pulut udang inti serunding kelapa dan udang kering.Walau apa namanya sekali pun, semoga kita tetap pelihara kuih warisan supaya tidak hilang ditelan zaman.Hari ni macam ketandusan idea untuk mengarang.Jom la kita semak resepi

pulut lepa,pulut lepo kelantan,pulut panggang,resepi pulut panggang inti serunding ikan,resepi serunding ikan,pulut lepo malina lina pg,kuih kelantan,resepi tradisi,


pulut lepa,pulut lepo kelantan,pulut panggang,resepi pulut panggang inti serunding ikan,resepi serunding ikan,pulut lepo malina lina pg,kuih kelantan,resepi tradisi,
Hero dan heroin pulut lepa iaitu pulut kukus dan juga inti serunding ikan.Untuk serunding ikan tu boleh juga digunakan sebagai inti popia simpul atau karipap mini.Kalau nak makan dengan laksam/laksa lemak pun boleh juga.


Resepi Pulut Lepa kelantan Inti Serunding Ikan
by malina lina pg http://linapg.blogspot.com/
bahan-bahan (serunding ikan)
5-6 ekor ikan 
1 cawan santan pekat

3 biji cili kering (rendam hingga lembut)
3 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih
1/2 cm halia
1inci gula nisan/nisan kerek
garam dan gula
sedikit halba

pulut kukus
2 cawan beras pulut (ketan)

1 cawan santan pekat
1 sb gula
1 sk garam

bahan lain
daun pisang
lidi/ stapler

Cara-Cara
  1. Ikan direbus dengan sedikit garam dan asam keping hingga masak.Kemudian asingkan isi dari tulang ikan.Ketepikan sebentar.
  2. Tumbuk bawang putih, bawang merah, halia dan cili kering.Kemudian keluarkan dari lesung.
  3. Kemudian tumbuk kasar isi ikan pula.Ketepikan terlebih dahulu.
  4. Dalam kuali, tuang santan pekat,masukkan bahan tumbuk,isi ikan, halba dan gula nisan/nisan kerek.
  5. Kacau hingga agak kering dan masukkan garam,gula atau sedikit perasa.Teruskan kacau hingga kering dan sedikit berderai (supaya serunding tahan lama).Ketepikan.
  6. Untuk pulut kukus pula.Cuci beras pulut dan rendam selama lebih kurang 3jam kemudian toskan.
  7. Tuangkan beras pulut ke dalam loyang pengukus ,boleh alas dengan daun pisang supaya pulut tidak bolos.
  8. Buat lubang di bahagian tengah supaya wap dapat naik dan pulut masak dengan sekata.Kukus pulut selama 20-25min.Pastikan air dalam pengukus telah mendidih semasa mula mengukus.
  9. Sementara menunggu pulut masak, satukan santan pekat, garam dan gula.Kemudian masak sekejap hingga naik wap.
  10. Apabila pulut telah masak, masukkan ke dalam mangkuk/bekas yang sesuai.Kemudian tuang santan yang telah dimasak tadi.
  11. Adun/gaul/arun pulut dengan santan hingga sebati.Masukkan semula pulut tadi ke dalam loyang pengukus dan kukus selama 20min (hingga pulut betul-betul masak)
  12. Sementara menunggu pulut dikukus,kita cuci/lap daun pisang.
  13. Setelah pulut masak, letakkan pulut anggaran 2 sudu ke atas daun pisang dan ratakan.Pulut nipis sahaja.
  14. kemudian letakkan inti serunding ikan di bahagian tengah dan lipat dengan kemas.
  15. Selitkan dengan lidi/pengcungkil gigi atau boleh juga guna stapler.
  16. Buat hingga habis.kemudian bolehlah dipanggang atau dibakat sekejap.Lina pg bakar menggunakan pemanggang ajaib sahaja.
  17. Pulut lepa telah pun siap, boleh dimakan panas-panas bersama teh o.Selamat mencuba.Untuk video tutorial boleh tonton di youtube malina lina pg https://youtu.be/9yuHIhxsxcQ

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...