Friday, October 22, 2021

Resepi Gulai Darat Kelantan | Tips cara Masak Gulai Ayam Kelantan Tanpa Tumis | malina lina pg

 Assalamualaikum...

Kembali bersiaran di hari Jumaat.Pada mulanya tak berapa rajin nak buat n3 hari ini.Macam biasalah ketandusan idea untuk mengarang.Memandangkan hari ni ialah 22hb Oktober 2021 merupakan hari istimewa bagi blog Teratak Mutiara Kasih, gigih jugalah buat posting.

Happy Bloggersary 2009-2021 tak sangka rupanya sudah 12 tahun blog kesayangan saya ni wujud.Walaupun semakin kurang rancak, tapi tetap update juga walaupun agak ketinggalan.Terima kasih buat semua yang tak jemu datang berkunjung ke sini.

Okey berbalik kepada resepi kita hari ini iaitu gulai darat ayam kelantan.Apa beza gulai darat dengan gulai biasa?gulai darat kelantan sebenarnya ada rempah khas dia iaitu rempah gulai darat.Kalau tak ada pun tak mengapa kita boleh olah rempah kari biasa menjadi rempah darat.Satu lagi keistimewaan gulai darat ialah gulai ini tidak perlu ditumis dan tidak menggunakan rempah penumis.Rempah 4 sekawan tu la.Cara masak gulai darat sangat simple, leburkan semua sekali.Dan yang paling best kalau masak guna api kecil kita reneh jer sampai ayam empuk.Cara ini akan menjadikan isi ayam sebati dan mesra dengan rempah.Kaedah memasak gulai darat ini saya inspirasikan dari MIL tapi saya olah mengikut kesesuaian dan citarasa sendiri supaya gulai darat jadi lebih padu.Gulai darat yang cantik bila direneh lama akan jadi pecah minyak dan gulai akan tahan lama.Kalau mengikut resepi asal gulai darat kelantan memang tak letak kentang.Saya letak juga sebab nak makan dengan roti jala.Sekurang-kurangnya ayam habis, bolehlah makan dengan kentang tu.Takkan kuah semata pulak kan

gulai darat ayam kelantan, resepi gulai darat, gulai ayam tanpa tumis, gulai darat malina lina pg,resepi kelantan,
Walaupun gulai ini tidak ditumis tapi rasanya padu tau.Ada keunikannya tersendiri berbanding dengan rasa rempah yang tumis

Gulai Ayam Kelantan
bahan kisar
1 labu bawang besar (kisar)
5 ulas bawang merah (kisar)
5 ulas bawang putih (kisar)
1 cm halia (kisaar)
1 cm lengkuas (kisar)
minyak
air

bahan lain
12 ketul ayam
3 sb kerisek 
1 paket serbuk kari ayam (25g)
1 sb serbuk sup/rempah kurma
1 sb serbuk cili
1 sb budu
1 cawan santan pekat (linapg guna santan kotak)
2 biji kentang (optional)
lada solok (jika ada) masukkan akhir sekali
sedikit gula merah (atau gula nisan)
asam keping
air secukupnya untuk kuah
garam dan perasa

Cara-Cara
  1. Masukkan ayam ke dalam periuk.Tuang bahan kisar.Masukkan rempah kari ayam, rempah kurma, serbuk cili, gula merah/gula nisan, asam keping, kerisik, budu dan garam.
  2. Gaul rata semua bahan ini dan kalau ada masa, perap sekejap selama 30min.Lagi lama lagi sedap kerana bahan perapan, mesra dengan ayam.
  3. Kemudian buka api kecil dan tutup periuk.Masak hingga ayam kecut.Jangan lupa kacau sekali sekala supaya tidak hangus di bahagian bawah.
  4. Kemudian masukkan santan, air secukupnya untuk kuah dan juga masukkan kentang.
  5. Biarkan mendidih dan ayam empuk.Akhir sekali sesuaikan rasa.Tambah garam dan perasa (jika perlu).Kalau ada lada solok bolehlah dimasukkan juga.
  6. Gulai darat ayam kelantan dah siap.
TIPS lina pg
Kisar bawang dan semua bahan lain menggunakan minyak, hasilnya gulai darat akan cantik (pecah minyak)
Kalau tak ada rempah darat, boleh guna cara optiona iaitu campurkan rempah kari ayam dengan rempah kurma.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...