Resepi Kuih Tepung Gomak / Kuih Abuk-Abuk Utara

By LiNa_Pg - Tuesday, November 07, 2023

 Assalamualaikum...

Kuih Tepung Gomak ini agak mengelirukan kerana ada 2 versi iaitu tepung gomak utara dan tepung gomak Kelantan.Nama tepung gomak sendiri juga ada 2 versi juga, di setengah negeri sememangnya nama tepung gomak dan ada setengah negeri memberi nama kuih abuk-abuk (kalau utara nama abuk-abuk) Apabila sebut nama Kuih Abuk-Abuk ada pulak yang keliru dengan kuih abuk-abuk sagu 😂 .

Serba sedikit penerangan ringkas mengenai kuih tradisional kita setakat yang saya tahulah.Kuih Abuk-Abuk Sagu bahan utama ialah sagu (biji) yang digaul dengan kelapa parut, letak inti iaitu gula merah/gula melaka (sagat/parut)sebagai agen pemanis.Kuih ini kena balut dengan daun pisang dan berbentuk kon.Kemudian dikukus hingga masak.Saya pernah buat kuih abuk-abuk sagu ini.Kalau nak tengok resepi boleh klik RESEPI KUIH ABUK ABUK SAGU malina lina pg.Kuih abuk abuk sagu juga saya sediakan video tutorial boleh tonton di YouTube juga.

Okey berbalik kepada kuih abuk-abuk atau tepung gomak ini pulak berbeza versi Kelantan vs utara.Kalau tepung gomak Kelantan kuih berbentuk bulat (utara leper) dan intinya berwarna agak cerah (koko cerah) manakala kuih tepung gomak utara intinya lebih gelap dan intinya sama seperti kita membuat inti ketayap.

Untuk bahagian luar pulak bahannya sama seperti doh onde-onde atau buah melaka.Cuma saya nak kongsikan TIPS supaya supaya bahagian luar kuih tepung gomak menjadi lebih lembut dan apabila digigit kuihnya senang putuh.Pendek kata tak terlalu liat.Rahsianya ialah letak sedikit air kapur dalam adunan doh.Itu sahaja.Hurmmm kalau di TikTok ramai yang pakat dok tanya boleh ke skip air kapur?Hurmmmm kalau pakat nak skip bahan rahsia yang menjadi tips kuih lembut tak ada istimewanya resepi ini..adoi pening mak nak.Memang la boleh skip tapi hasil dan tektur kuih jadi biasa-biasa saja 😉 

kuih tepung gomak, kuih abuk abuk, kuih abuk abuk tepung pulut

Kuih tepung gomak ni inti dia kena sedap, barulah kuih jadi sedap sebab bahagian luar tu kosong saja

Untuk inti saya suka warna gelap macam ni dan basah-basah siket

Kuih Tepung Gomak / Kuih Abuk Abuk Tepung Pulut
by Malina Lina Pg https://linapg.blogspot.com/
Bahan A (Inti) 
1 ketul gula nipah (120g) boleh guna gula melaka/gula nisan
1/2 cawan gula pasir (boleh tambah/kurang)
Daun pandan
Garam
Air ( 1 cawan)
=============
2 cawan kelapa parut
Daun pandan 
1 sb (rata) tepung gandum

Bahan B (Doh)
2 cawan tepung pulut
1 sk air kapur
Garam
Air (anggaran 240ml)

Bahan C
Tepung kacang hijau (siap disangrai/sangai)

Cara-Cara
  1. Satukan gula nipah,gula pasir,daun pandan,garam dan air. Masak hingga gula larut.Tutup api dan ketepikan sebentar.
  2. Sediakan kuali/periuk berasingan, masukkan kelapa parut, daun pandan dan tapiskan bahan A1(air gula yang dimasak tadi).Gaul sebati air gula dan kelapa parut.Masak menggunakan api sederhana hingga air hampir kering.
  3. Kemudian taburkan tepung gandum ke atas inti.Tujuan supaya inti kelapa lebih kental dan tidak berair.
  4. Kacau sekejap hingga nampak kental/kering sedikit.Boleh tutup api.Biarkan inti sejuk.
  5. Cara membuat doh.Satukan tepung pulut,garam dan air kapur.Gaul sebati.
  6. Kemudian tuang air sedikit demi sedikit sambil uli hingga menjadi doh yang tidak melekat di tangan.Tutup doh dan rehatkan sebentar.
  7. Sementara itu kita bulat-bulatkan inti.Sapu tapak tangan dengan sedikit minyak tujuan supaya inti tidak comot melekat kat tangan.Lina pg menggunakan sukatan 1 sudu besar metrik untuk setiap biji inti.Untuk resepi inti kelapa inti dapat 15biji.Buat hingga selesai.
  8. Untuk doh pulak, kita bahagikan kepada beberapa bahagian.Kalau inti 15biji, jumlah doh kita bahagikan kepada 15 bahagian juga.
  9. Ambil sebiji doh, masukkan inti di bahagian tengah kemudian tutup dengan kemas.Leperkan sedikit dan ulang proses hingga habis.
  10. Didihkan air kemudian rebus doh tadi hingga masak.Doh akan terapung setelah masak.Angkat dan toskan.
  11. Salut kuih dengan tepung kacang hijau (lina pg beli yang siap disangrai kat kedai runcit je).Kuih Tepung Gomak sedia dinikmati.

  • Share:

You Might Also Like

1 comments