Ubi Tonyoh Menu Popular Musim Hujan

By LiNa_Pg - Wednesday, July 17, 2024

 Assalamualaikum...

Kembali bersiaran di pagi Rabu.Apa khabar semua pengunjung blog TMK?Semoga semuanya baik-baik sahaja.Tengok pada tajuk mesti semua sudah dapat menjangkakan bahawa resepi hari ini sememangnya sudah lama tersimpan dalam folder.Sebenarnya Tonyoh ubi atau ubi kayu tonyoh ini saya buat semasa musim hujan atau musim banjir iaitu sekitar bulan November-Disember tahun lepas.Asyik tertangguh je untuk update dalam blog TMK.

Kuih tradisional nan satu ini agak sukar ditemui di negeri-negeri lain selain di Kelantan dan Terengganu.Kalau musim bah di Pantai Timur memang sangat banyak peniaga kecil berniaga di tepi-tepi jalan berniaga ubi tonyoh.Ini disebabkan lambakan ubi kayu yang banyak pada musim hujan.Jadi mereka pelbagaikan menu untuk jualan.Selain dari Putu Halba ubi kayu, ubi kayu tonyoh juga mendapat sambutan hangat.Bahannya sangat mudah sahaja iaitu ubi kayu selaku bahan utama dan bahan sampingan ialah kelapa parut dan gula+sedikit garam.Itu sahaja.Tonyoh ubi ini sangat sedap apabila dimakan semasa masih panas.

Saya ada membuat 2 versi ubi kayu tonyoh.Versi pertama ialah ubi kayu parut dikukus kosong sahaja dan makan bersama dengan kelapa parut yang dicampur sedikit garam.Kemudian tabur sedikit gula pasir untuk rasa manis.Ini cara tradisional.Tetapi sekarang sudah ada versi upgred iaitu ubi tonyoh tadi dimakan bersama dengan air gula nisan atau sirap gula melaka.Versi kedua pula ialah ubi kayu parut digaul dengan kelapa parut, gula dan sedikit garam.Kemudian barulah dikukus dan dihidang bersama kelapa parut atau makan begitu sahaja.Oh!ya bagi yang tertanya-tanya apa itu TONYOH?Tonyoh bermaksud PARUT dalam bahasa Kelantan/Terengganu.Ada lagi satu perkataan yang hampir sama iaitu GONYOH.Perkataan gonyoh lebih kepada perbuatan sental.Contohnya membasuh pakaian menggunakan tangan kena sental/gonyoh.

Gonyoh dan Tonyoh adalah perkataan klasik bagi Kelantan.Zaman sekarang ramai yang menggunakan perkataan parut tetapi kuih tradisional kita kekalkan kepada nama asal iaitu TONYOH UBI KAYU yang bermaksud ubi kayu parut (kasar).Okey jom kita semak bahan-bahan dan cara membuat Tonyoh Ubi makanan klasik orang dulu-dulu.

Beginilah rupa hidangan lengkap ubi tonyoh

Yang ini ubi tonyoh yang digaul dengan kelapa parut, campur sedikit gula kemudian barulah dikukus.Bagi saya lebih simple dan sedap.Kalau mengikut citarasa saya, saya memilih versi ini.Makan terus tanpa kelapa parut tambahan

Ini versi sama seperti gambar atas cuma dilengkapkan dengan kelapa parut semasa menghidang.

Ini versi asal, ubi kayu dikukus kosong sahaja.Selepas siap dikukus dihidangkan bersama dengan kelapa parut dan juga gula pasir.Atau pun air gula nisan.Dalam gambar ini saya hidangkan bersama air gula nisan.Kalau nak cepat boleh tabur gula pasir sahaja.Tanpe perlu bersusah payah buat sirap gula melaka/air gula nisan


Ubi Kayu Tonyoh
by @Malina Lina Pg https://linapg.blogspot.com/
Bahan A
4 ketul ubi kayu (1kg)
Daun pandan (jika ada)
2 cawan kelapa parut
Garam dan gula

Bahan B - Sirap Gula Melaka (Air Gula Nisan)
1 cawan air
2 keping gula nisan
1 helai daun pandan
garam


Cara-Cara
  1. Ubi kayu dibersihkan dan buang kulit.Kemudian tonyoh/parut kasar.
  2. Bahagikan kepada 2 bahagian.Jika ingin membuat 2 versi ubi tonyoh.
  3. Separuh bahagian ubi tonyoh (ubi kayu parut) masukkan ke dalam pengukus (yang berlubang-lubang tu).Ratakan ubi parut tadi dan buat sedikit lubang supaya wap dari pengukus dapat naik ke atas dan ubi parut masak dengan sekata (refer video di YouTube malina lina pg).
  4. Letak hirisan daun pandan (jika ada) supaya ubi tonyoh akan lebih beraroma. Ketepikan sebentar.
  5. Masukkan baki ubi kayu parut ke dalam mangkuk.Kemudian masukkan kelapa parut.Lina Pg masukkan anggaran 4-5 sudu besar.Agak-agak je la ya.Kalau nampak ubi parut bersalut dengan kelapa parut kira dah cukup.
  6. Masukkan sedikit garam dan juga gula anggaran 2 sudu besar.Sukatan gula mengikut citarasa masing-masing.Kemudian gaul sebati.Sambil gaul tu masukkan daun pandan.
  7. Kemudian masukkan ke dalam pengukus (yang lubang-lubang tu) kemudian buat lubang di bahagian tengah supaya wap dapat naik ke atas.Kukus selama 25min (atau hingga masak)
  8. Baki kelapa parut masukkan ke dalam bekas, letak sedikit garam dan daun pandan.Gaul rata dan kukus sekejap.Tips supaya kelapa parut lambat basi/masam.
  9. Sementara menunggu ubi tonyoh siap dikukus, jom buat sirap gula melaka/air gula nisan.Satukan semua bahan B masak hingga gula nisan larut.Tutup api dan tapiskan.
  10. Cara menghidang untuk versi manis.Sendukkan dan letak dalam pinggan hidang bersama kelapa parut atau makan begitu sahaja.Untuk versi kosong (tawar) letakkan ubi tonyoh bersama kelapa parut kemudian siram dengan sirap gula melaka atau boleh juga taburkan gula pasir.Ubi Kayu Tonyoh sedia dinikmati.Selamat Mencuba!

  • Share:

You Might Also Like

1 comments

  1. Ohh sedapnya, saya suka sangat ubi tonyoh ni walau payah jumpa. Nak buat sendiri lah ni. Thanks kongsi resepi.

    ReplyDelete