Pulut Pagi Kelantan Paling Sedap | Tips Pulut Lembut Dan Cantik Berkilat

By LiNa_Pg - Friday, July 25, 2025

 Assalamualaikum...

Lamanya tak bersiaran di dapur maya nan satu ini, salam Jumaat buat semua, semoga kalian baik-baik sahaja.Masih banyak resepi yang belum sempat saya tulis dalam blog TMK ini.Bahan banyak untuk disiar tetapi kekangan masa dan ketandusan idea untuk menulis blog.

Hari ini saya akan kongsikan satu resepi makanan yang terkenal di negeri Kelantan iaitu Pulut Pagi Kelantan atau Pulut Manis.Ada juga yang tersilap atau tertukar dengan 'Nasi Manis' atau Wajik.Pulut Pagi seakan sama dengan wajik tetapi sangat berbeza dari segi proses pembuatan, rasa dan juga tektur pulut.Pulut Pagi lazimnya dimakan bersama kelapa parut, manakala kuih wajik makan begitu sahaja.Di setengah tempat mengikut daerah tertentu, Pulut Pagi Kelantan dimakan bersama kacang merah.Tetapi kalau di tempat saya, bonda saya masak Pulut Pagi bersama kelapa parut sahaja.Jadi saya tidak biasa makan bersama kacang merah. Kita raikan sahaja perbezaan resepi dan makanan tradisional ini mengikut daerah atau tradisi keluarga masing-masing.

Pulut Pagi Kelantan rasanya mestilah manis, rasa lemak masin dari kelapa parut dan tekturnya yang cantik sebiji-sebiji. Kalau pulut hancur atau patah memang membantutkan selera makan.Saya akan kongsikan beberapa TIPS supaya hasil pulut cantik sebiji-sebiji, lembut dan berkilat.Barulah puas hati kita makan.

1) Tips pertama ialah saya gunakan beras pulut siam yang tahan lasak. Rendam beras pulut sekurang-kurangnya 4 jam supaya pulut lembut.

2) Tips kedua ialah masukkan sedikit air kapur (yang keruh) semasa merendam beras pulut. Kemudian tos dan bilas dengan air paip.

3) Guna gula batu supaya pulut cantik berkilat.Guna seketul kecil sahaja.

Ini sahaja tips yang saya dapat kongsikan. Semoga bermanfaat.

pulut pagi kelantan malina lina pg
Teksturnya cantik sebiji-sebiji dan berkilat.

pulut pagi kelantan malina lina pg
Kalau tak ada daun pisang, boleh terus hidang macam ni.

Resepi Pulut Pagi Kelantan
by @malina lina pg https://linapg.blogspot.com/
Bahan A (Pulut)
2 cawan beras pulut
1 sb air kapur (lina pg guna yang keruh sedikit)
Air secukupnya (untuk rendam pulut)
Daun pandan dan daun pisang

Bahan B
2 keping gula nisan (nisey kerek) - 120g
3 sb gula merah
1 ketul gula batu
1 cawan air
Daun pandan

Bahan C
1 cawan kelapa parut (atau secukupnya)
Sedikit garam
Daun pandan

Cara-Cara
  1. Cuci bersih beras pulut rendam selama 4-5jam bersama air kapur dan air secukupnya.Pastikan beras pulut tenggelam dalam air.
  2. Kemudian toskan dan bilas dengan air paip.
  3. Alas pengukus dengan daun pisang, tuang pulut tadi ke dalam pengukus dan letak daun pandan untuk naikkan aroma pulut.Kemudian kukus selama 25min (hingga pulut masak).
  4. Sementara menunggu pulut masak, kita satukan bahan B iaitu gula nisan, gula merah, gula batu, daun pandan dan air.Masak hingga gula larut.Tutup api dan ketepikan sebentar.
  5. Setelah pulut masak, masukkan ke dalam mangkuk besar, tuangkan larutan air gula tadi.Kemudian arun/gaul rata.Biarkan sebentar anggaran 10min supaya air gula dapat meresap masuk ke dalam pulut.
  6. Sementara itu satukan bahan C iaitu kelapa parut, garam dan daun pandan ke dalam bekas/mangkuk yang sesuai.Gaul sebati.
  7. Setelah selesai pulut direhatkan, tuang semula pulut tadi ke dalam pengukus dan letak daun pandan (jika ada).Kukus pulut dan kelapa parut (Guna pengukus 2 tingkat).Kukus selama 15min. 
  8. Setelah pulut masak, bolehlah bungkus dengan daun pisang.Atau hidangkan pulut ke dalam pinggan.Cara membungkus pulut pagi boleh rujuk video tutorial di Youtube malina lina pg

  • Share:

You Might Also Like

1 comments

  1. Nampak sedap...tapi SA x pernah makan dan x pernah jumpa kat area SA...

    ReplyDelete