Telur Dadar Masak Lemak Cili Api

By LiNa_Pg - Thursday, April 04, 2024

 Assalamualaikum...

Sekejap sahaja kan masa berlalu, hari ini dah 24 hari kita berpuasa.Terasa sungguh pantas masa berlalu.Semoga amal ibadah kita diterima oleh Allah s.w.t

Bagaimana dengan persiapan raya?semua sudah siap sedia ke?Bagi kami sekeluarga tahun ini sederhana sahaja, ada yang lebih perlu diutamakan.

Okeylah hari ini saya nak kongsikan idea lauk bersahur atau boleh juga buat untuk berbuka puasa iaitu resepi telur dadar masak lemak cili api.Selalunya orang buat masak lemak pecah telur ke dalam kuah kan?Kali ini kita tukar sedikit buat telur dadar terlebih dahulu, potong-potong kepada beberapa bahagian kemudian masukkan ke dalam kuah lemak.Memang sedap tau ada vibe sipi-sipi macam daging salai siket.Paling penting cara ini sangat menjimatkan telur.Kalau kita buat cara pecahkan telur sebiji-sebiji maka sebiji itu mesti untuk seorang makan kan?Bila buat versi telur dadar dan potong-potong, telur akan menjadi banyak keping dan boleh dimakan oleh keluarga ramai.Mudah dan menjimatkan belanja.Resepi telur dadar masak lemak cili padi ini viral juga di TikTok beberapa bulan yang lepas.Psstt ini menunjukkan resepi lama tersimpan dalam folder hehe.

Saya letakkan sedikit potongan nanas itupun lebihan dari buat masak siakap 3 rasa.Buah nanas tu kalau tak ada tak payah letak pun tak apa 

Resepi Telur Dadar Masak Lemak Cili Api
by Malina Lina Pg https://linapg.blogspot.com/
Bahan-Bahan
5 biji telur
2 inci kunyit hidup - tumbuk
2 biji cili api / cili padi (terpulang selera) - tumbuk
3 ulas bawang merah - tumbuk
1 ulas bawang putih -tumbuk
1 batang serai - ketuk
2 biji kentang (potong dadu)
1 potong nanas (optional)
1 helai daun kunyit
200ml santan pekat
1 asam keping
air secukupnya
sedikit serbuk pati ayam
garam dan perasa

Cara-Cara
  1. Mula-mula sekali kita buat telur dadar, pecahkan telur ke dalam mangkun dan masukkan sedikit serbuk pati ayam.Kalau nak gunakan garam pun boleh.Pukul sedikit sekadar bercampur.
  2. Panaskan minyak goreng telur dadar.Lina pg goreng 2 batch (dari 5 biji tadi goreng menjadi 2 biji telur dadar)Kalau nak goreng menjadi sebiji telur dadar pun boleh tetapi telur dadar akan menjadi terlalu tebal dan akan menyerap kuah.Goreng hingga garing, kemudian angkat dan toskan sebentar.
  3. Setelah telur dadar siap digoreng, potong telur dadar kepada beberapa bahagian.Ketepikan sebentar.
  4. Sediakan periuk untuk memasak kuah lemak, masukkan bahan tumbuk, masukkan air anggaran 1 cawan dan masukkan juga serai yang telah diketuk.Reneh sekejap hingga air hampir kering.Tujuan supaya cili dan bawang masak untuk elakkan sakit perut.
  5. Masukkan kentang bersama nanas dan masukkan air sama paras dengan kentang dan nanas.Masukkan juga asam keping.Biarkan kuah mendidih dan kentang empuk.
  6. Masukkan santan pekat (boleh tambah air jika suka lebih banyak kuah).Kacau sekejap, kemudian masukkan telur dadar, daun kunyit,garam dan perasa.Biarkan kuah mendidih.Telur dadar masak lemak cili api dah siap.Selamat Mencuba.

  • Share:

You Might Also Like

0 comments