Resepi Lengkap Nasi Ayam Paling Mudah Dan Sedap (sesuai untuk beginner)

By LiNa_Pg - Monday, February 16, 2026

Assalamualaikum...

Selamat bercuti buat semua.Kebiasaan masa cuti sekolah dan cuti perayaan begini, mak-mak akan pening kepala memikirkan hidangan untuk anak-anak dan keluarga.Hari ini saya nak kongsikan idea masakan untuk kaum ibu sekalian.Resepi mudah dan simple yang pasti menjadi kegemaran anak-anak iaitu nasi ayam.Nasi ayam ini juga sesuai kalau nak dijadikan juadah berbuka puasa.Tak perlu makan di kedai atau restoran dah sebab dah boleh buat sendiri.Resepi lengkap nasi ayam ini merangkumi cara penyediaan sup, nasi, ayam, sambal nasi ayam dan juga kuah kicap.

Faktor utama kemenjadian nasi ayam ialah SUP.Jika sup sudah sesedap rasa, maka bahagian lain akan jadi lebih mudah dan tidak perlu adjust terlalu banyak.Ini kerana sup nasi ayam akan digunakan untuk semua bahagian nasi ayam iaitu nasi, sambal, dan juga kuah kicap.Jadi, sup perlu dilebihkan untuk kegunaan lain.Selain itu sup juga kita akan hirup semasa makan nasi ayam.

Walaupun resepi panjang berjela tapi gambar nan sekeping sahaja masuk dalam blog TMK haha.Haaa begitulah si LiNa Pg ni bila dia dah penat masak lama-lama kat dapur, tambah pula shoot video, anak-anak pun dah lapar, memang cincai-cincai je la gambar yang sempat shoot.


Resepi Nasi Ayam Mudah Dan Sedap
by Malina Lina Pg https://linapg.blogspot.com/
Bahan A (Kisar)
7 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih
1 cm halia
Air

Bahan B (Sup)
5 ketul whole leg (atau 1 ekor ayam)
1 batang kulit kayu manis
1 bunga lawang
Daun bawang
Minyak
Air

Cara Penyediaan Sup
  1. Mula-mula kita buat sup terlebih dahulu.Panaskan minyak, tumis kulit kayu manis, bunga lawang, daun bawang (guna bahagian bawah yang keras), masukkan separuh sahaja bahan kisar (A) tinggal separuh lagi untuk masak nasi.Tumis hingga garing.
  2. Kemudian masukkan ayam, gaul sebentar dan tutup periuk untuk kecutkan ayam.Setelah ayam kecut, masukkan air secukupnya untuk kuah sup. Masukkan garam dan kiub ayam.Tutup periuk dan biarkan ayam empuk.
  3. Setelah ayam empuk, keluarkan ayam dari periuk.Ketepikan sebentar (biar suam sedikit)


Bahan C (Ayam)
5 ketul ayam dari bahagian B
2 sb sos tiram
2 sb kicap lemak manis
1 sb madu
Minyak

Cara Penyediaan
  1. Gaulkan ayam dengan sos tiram, kicap lemak manis dan madu.Perap selama 30min.Kemudian goreng hingga golden brown guna api sederhana sahaja.Angkat dan ketepikan.
  2. Note: lebihan perapan ayam jangan dibuang.Kita akan gunakan untuk kuah kicap
Bahan D (Nasi Ayam)
3 cawan beras basmati (basuh dan rendam 30min dengan serbuk kunyit)
4 cawan sup
Baki bahan kisar (dari bahan A)
1 batang serai
Daun pandan
Minyak dan mentega


Cara Penyediaan
  1. Panaskan periuk (LiNa Pg guna rice cooker je) masukkan sedikit minyak dan mentega.Masukkan serai, daun pandan, bahan kisar tumis hingga terbit bau.
  2. Kemudian masukkan beras basmati gaul rata dengan tumisan.Kemudian masukkan sup, gaul rata dan biarkan nasi masak (keep warm).Nasi Ayam dah siap!
Bahan E (Sambal Nasi Ayam)
1 ulas bawang merah
1 ulas bawang putih
1 biji buah tomato (buang biji)
5 biji cili merah (buang biji)
1 cawan sup
1 sb cuka makan
1 sb sos cili

Cara Penyediaan
  1. Satukan bawang merah, bawang putih, tomato, cili merah dan sup ke dalam pengisar kemudian kisar halus.
  2. Tuang bahan kisar tadi ke dalam periuk keci atau pan.Masukkan cuka, sos cili dan reneh hingga pekat. Boleh tambah sedikit garam/perasa jika perlu. Sambal nasi ayam siap!
Bahan F (Kuah Kicap)
1 ulas bawang putih (cincang)
Lebihan bahan perapan ayam (bahan c)
1 cawan sup
1 sb tepung jagung (bancuh dengan sedikit air)
1 sb sos tiram
Serbuk lada sulah
Minyak

Cara Penyediaan
  1. Panaskan sedikit minyak, tumis bawang putih hingga garing.
  2. Masukkan lebihan perapan ayam tadi, masukkan sup, sos tiram dan kicap lemak manis.Biarkan kuah kicap mendidih.
  3. Masukkan bancuhan tepung jagung untuk pekatkan kuah.Akhir sekali masukkan serbuk lada putih.Tutup api.Kuah Kicap nasi ayam siap!

  • Share:

You Might Also Like

0 comments