Resepi Ayam Geprek Mudah Dan Sedap | Apa Perbezaan Ayam Geprek, Ayam Penyet Dan Ayam Gepuk?

By LiNa_Pg - Tuesday, December 22, 2020

 Assalamualaikum...

Sejuk nyaman berangin jer pagi ni terasa macam dok di Cameron Highland pulak...walaupun tahun 2020 ni kami cuma melancong dalam ruma ajer hahaaa....Bagi kawan-kawan yang bercuti atau pergi melancong selamat bercuti dan hati-hati memandu, paling penting jaga kesihatan dan patuhi SOP.

Kalau sebelum ni saya pernah kongsikan resepi ayam penyet,kali ini saya nak kongsikan pula resepi ayam geprek.Kalau di Indonesia ada 3 serangkai resepi ayam yang terkenal iaitu Ayam Penyet, Ayam geprek dan ayak gepuk.Pada awalnya ayam gepuk agak terkenal berbanding yang lain, kemudiannya ayam penyet mengambil takhta dan ada juga yang menggemari ayam gepuk.Paling femes ialah Ayam gepuk Pak Gembus.Apa perbezaan ketiga-tiga resepi ayam ni?

Saya mulakan dengan dengan ayam penyet sebab resepi saya dah pernah buat.

1)Ayam Penyet.

Ayamnya direbus dalam bumbu/rempah khas dan selalunya bewarna kekuningan sebab diletakkan sedikit kunyit.Kemudian ayam digoreng hingga garing.Tempoh menggoreng sekejap sahaja kerana ayamnya sudah direbus hingga masak.Manakala sambal ayam penyet semua bahan digoreng terlebih dahulu, kemudian kisar/tumbuk/ulek dan akhirnya digoreng sekali lagi.Ada sedikit terasi/belacan dimasukkan ke dalam sambal.Cara menghidang, ayam di hempuk/tumbuk sedikit dan diletakkan sambal.Makan bersama nasi putih, telur masin, tempe goreng.

2) Ayam Geprek

Ayam yang digunakan tidak bertulang (boneless) disalut dengan tepung goreng dan digoreng hingga garing.Resepinya lebih mudah dan simple.Untuk sambal pulak kalau yang ori sambal mentah sahaja iaitu kesemua bahan sambal diulek/tumbuk sambil dimasukkan garam dan gula/perasa.kemudian siram dengan minyak panas.Tapi untuk resepi yang saya sediakan saya guna kaedah goreng kesemua bahan (cili dan sebagainya)kerana takut perut tak tahan nanti sakit perut. Cara menghidang, sama seperti ayam penyet, ayamnya juga di 'geprek'ditumbuk.Perbezaannya ayam geprek ditumbuk bersama sambal hingga hancur agak lunyai hinggakan kita tak perlu guna sudu garfu untuk mencubit ayam (tapi yang lina pg buat, ayam dipukul manja-manja jer sebab nanti tak cantik nak posing kalau hayam dah lunyai hahhaha)

3) Ayam Gepuk

Ayam gepuk hampir sama dengan ayam penyet iaitu ayamnya direbus bersama rempah/bumbu khas hingga masak.Sedikit perbezaan ialah ayamnya diketuk/hempuk terlebih dahulu selepas direbus.Kemudian barulah digoreng.Dah siap goreng tak payah nak ketuk/hempuk2 lagi dah.

Okey sekarang jom kita semak resepi ayam geprek.Saya ada buat video tutorial juga di youtube sana.Nanti korang boleh refer ke youtube untuk lebih mudah faham.

ayam geprek,resep ayam geprek, apa perbezaan ayam penyet vs ayam gepuk dan ayam geprek, cara membuat ayam geprek, ayam gepuk pak gembus,
Ayam Geprek ni lebih mudah dan cepat siap.Kalau yang tak ke mana-mana tu bolehlah cuba resepi ni.Makan panas-panas memang sedap

RESEPI AYAM GEPREK MUDAH DAN SEDAP
by malina lina pg http://linapg.blogspot.com/
Bahan A (Perapan)
4 keping whole leg tanpa tulang
2 biji limai kasturi (ambil jusnya)
3 ulas bawang putih (tumbuk)
2 sudu besar penuh tepung goreng ayam
2 biji telur
Serbuk pati ayam (atau garam)
sedikit air sejuk (peti ais)

Bahan B (Ayam)
1 cawan tepung goreng ayam
1/2 cawan tepung beras
minyak

Bahan C (Sambal)
7 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih
7 biji cili merah
10 biji cili padi
1 biji tomato
kiub ikan bilis (atau garam dan gula/perasa)
minyak untuk menumis

Cara-Cara
  1. Bahan A.Ayam dicuci bersih.Perahkan jus limau kasturi dan ratakan keseluruhan ayam, serbuk pati ayam (atau sedikit garam),bawang putih, tepung goreng ayam dan telur.Masukkan juga sedikit air sejuk.Gaul sebati semua bahan ni dan perap selama 30min.
  2. Bahan B. Satukan tepung goreng ayam dan tepung beras.Kalau nak guna kesemua tepung goreng ayam pun boleh, tetapi mengikut citarasa lina pg, kalau guna kesemua tepung goreng ayam akan rasa terlebih masin siket.
  3. Ayam yang diperap tadi disalut dengan campuran tepung goreng ayam.Pastikan keseluruhan ayam bersalut dengan tepung.Ulang 2x proses salut tepung (rujuk video di youtube)
  4. Panaskan minyak dan goreng ayam hingga garing.Kemudian 'geprek/pukul' ayam untuk pecah-pecahkan isi ayam.
  5. Bahan C.Untuk sambal, panaskan minyak dan goreng cili, bawang dan tomato hingga sedikit layu.
  6. Tumbuk/blend kasar kesemua bahan yang digoreng tadi.
  7. Goreng semula bahan tumbuk dan perasakan dengan kiub ikan bilis atau boleh juga dimasukkan garam dan perasa/gula.
  8. Untuk menghidang letakkan sambal ke atas ayam yang telah tumbuk/pecah-pecahkan tadi.Selamat mencuba

  • Share:

You Might Also Like

0 comments