Kuih Boko Ubi Kayu Gula Merah (sukatan cawan )| tepung boko kuih tradisional kelantan | kuih boko lina pg

By LiNa_Pg - Wednesday, December 23, 2020

 Assalamualaikum...

Kuih boko pernah menjadi fenomena dah pernah viral meletup letup suatu ketika dahulu.Ramai yang mencuba dan menjadikan tepung boko ubi kayu ini sebagai sumber pendapatan sampingan dengan mengambil tempahan kecil-kecilan.Saya sendiri pun terjebak jugaklah semasa kuih ni semasa tengah viral.Siap buat video lagi hehee.Saya pernah buat 2 versi kuih boko ini iaitu kuih boko gula melaka dan kuih boko gula putih (saya guna ubi kayu kuning)jadi hasilnya kuih boko berwarna kuning.Untuk kuih boko gula melaka sebenarnya saya ada buat video (tahun lepas) tetapi sayangnya video tu ada masalah teknikal dan saya reshoot buat video guna gula gula putih.Hurmmm kiranya tahun lepas dah 2x saya buat video tepung boko ni.

Kali ini saya buat lagi resepi kuih boko gula melaka tapi resepinya saya dah improvise dan alhamdulillah sangat menepati citarasa saya.Lembut lemak-lemak dan manisnya sesedap rasa.Kalau nak tahu asal usul nama 'BOKO' boleh baca di posting kat SINI saya pernah menulis serba sedikit info mengenai kuih boko, apa perbezaan dan persamaan dengan kuih talam ubi kayu.Kuih sama nama jer lain atau memang kuih yang berlainan.Kalau nak tahu kenalah baca hehe..

Sekarang ni dah masuk musim tengkujuh, insyaaAllah bekalan ubi kayu memang banyak.Kalau ada yang teringin merasa kuih boko, bolehlah mencuba dan sekiranya ada yang nak buat meniaga dipersilakan....tak perlu emel/DM/PM untuk minta saya halalkan resepi ini.Cuma nak minta siketttt jer 'Jangan lupa titipkan doa semoga kami sekeluarga diberi kesihatan yang baik dan dimurahkan rezeki'...Boleh kan?

Resepi tepung boko ubi kayu saya menggunakan sukatan cawan, rasanya lebih mudah bagi mereka yang tiada penimbang.Lagipun kuih-kuih tradisional ni selalunya sukatan dia lebih mudah, guna jer cawan yang sama, insyaaAllah menjadilah tu.

resepi kuih boko, tepung boko sukatan cawan, kuih boko mudah dan sedap, kuih tradisional, kuih kelantan,kuih melayu, kuih tepong boko sedap, youtube malina lina pg, kuih boko lina pg,
yang ni masa masih panas-panas, dia lembek-lembek siket tapi ya ampunnnn sedap sangat

resepi kuih boko, tepung boko sukatan cawan, kuih boko mudah dan sedap, kuih tradisional, kuih kelantan,kuih melayu, kuih tepong boko sedap, youtube malina lina pg, kuih boko lina pg,
yang ni pulak kuh yang dah sejuk...terpulang selera nak makan masa panas-panas atau kuih yang telah disejukkan...Kalau saya dua-dua pun suka...

Okey sebelum saya kongsikan resepi kuih boko, saya nak buat sedikit pencerahan.Sebenarnya dah banyak ulang benda yang sama.Tapi setiap kali saya buat resepi yang menggunakan ubi kayu parut mesti ramai yang bertanya ubi kayu kena perah ke tak?Kalau korang follow youtube lina pg dan menonton semua video, insyaaAllah tak akan terlepas tips yang diberikan.
Untuk ubi kayu yang diparut kena perah atau tidak?Untuk saya jawapannya TIDAK (tidak perlu perah)kenapa saya tak perah buang air lepas parut/sagat ubi.KERANA ubi kayu yang saya gunakan tidak berair.Jadi nak perah buat apa....Ada yang kata nanti pahitlah kalau tak perah.Ubi kayu akan rasa pahit kalau guna ubi yang dah masuk angin atau ubi kayu yang dah lama.
Konsep dia macam ni, Kalau lepas parut ubi kayu nampak berair, korang perahlah..sebab ubi kayu yang digunakan tak sama.Selalunya kalau ubi kayu kuning tidak berair.Okey harap korang jelas ya.

Kuih Boko Ubi Kayu Gula Merah Sukatan Cawan
by malina lina pg http://linapg.blogspot.com/
Lapisan Bawah (ubi)
2 cawan ubi kayu parut (anggaran 500g)
2 cawan gula merah
1/2 cawan gula pasir
3 cawan air
2 helai daun pandan
2 sudu besar tepung ubi
sedikit garam

Lapisan Atas (Santan)
1 cawan santan pekat
2 cawan air
1 cawan tepung beras
1 sudu besar tepung ubi kayu
sehelai daun pandan
sedikit garam

Cara-Cara
  1. Satukan gula merah, gula pasir, daun pandan, garam dan air ke dalam periuk.Kemudian masak hingga gula larut.Tapis dan ketepikan sebentar hingga air gula sejuk/suam-suam kuku.
  2. Masukkan air gula yang telah suam ke dalam pengisar, masukkan ubi kayu parut dan juga tepung ubi.Kisar halus.
  3. Sediakan bekas yang sesuai.Lina pg guna cup kecil yang telah disapukan minyak.
  4. Tuang adunan ubi kayu hingga separuh bekas sahaja.Kemudian tutup dengan penutup bekas/cup (boleh juga kalau nak guna aluminium foil)
  5. Kukus hingga masak (bergantung kepada saiz bekas) boleh refer ke video youtube untuk tempoh mengukus.
  6. Setelah kuih masak, biarkan sejuk terlebih dahulu sebelum diletakkan topping (lapisan santan)
  7. Untuk lapisan santan pula, satukan semua bahan dan kacau hingga semua larut dan sebati.
  8. Buka api kecil dan kacau hingga adunan nampak likat.Pastikan sentiasa dikacau supaya adunan tidak bergentel dan hasilnya adunan nampak licin.Tutup api dan tuang ke atas lapisan ubi tadi.
  9. Kuih boko sedia dinikmati.Selamat mencuba.

  • Share:

You Might Also Like

1 comments

  1. kuih fav ni...kt kl jrg jumpa org jual...aritu nasibaik ada kwn jual..so dpt la order

    ReplyDelete