­
­
Cara Buat Sotong Masak Diraja Mudah Dan Sedap - TERATAK MUTIARA KASIH

Cara Buat Sotong Masak Diraja Mudah Dan Sedap

By LiNa_Pg - Thursday, March 27, 2025

 Assalamualaikum...

Kembali bersiaran di hari Khamis, sudah mood raya ke tu?Minta maaf blog TMK tak ada resepi biskut raya tahun ini, memang tak sempat nak mengukis, lauk pauk berbuka puasa dan kuih pun terasa 'berkejar-kejar' untuk memasak.Masa sangat terhad sebab 2 trip ambil dan hantar anak sekolah memang tak sempat nak buat apa-apa juadah istimewa untuk raya.Tetapi rendang insyaaAllah ada..esok saya akan post resepi rendang yang mudah, boleh save resepi dulu, week end cari bahan-bahan.

Okey hari ini saya nak berkongsi satu resepi lauk berbuka yang simple iaitu sotong masak diraja, inspirasi dari resepi udang masak diraja.Ianya seakan kombinasi masak lemak pekat dan rendang tetapi tidak menggunakan kerisik.Pendek kata memang sedap makan dengan nasi putih kalau nak cicah nasi impit pun sesuai juga.Sebelum ini saya guna udang, kita boleh masukkan terus ke dalam kuah akan tetapi apabila guna sotong lain siket kaedahnya.Sotong kena celur atau rebus sekejap untuk buang air sotong.Jika tidak, air sotong akan menjejaskan rasa kuah dan kepekatan kuah.

Semasa saya mencuba udang masak diraja, ramai juga yang komen di TT 'apa yang dirajanya, macam masak lemak je?Dirajanya ialah warna hasil masakan iaitu kuning diraja.Oleh itu jangan terlalu banyak menggunakan cili merah kerana hasilnya menjadi 'jingga' dan bukan warna diraja.Kena pandai sesuaikan kuantiti kunyit dan cili merah barulah hasilnya menepati namanya iaitu kuning diraja.

Sotong Masak Diraja
by Malina Lina Pg https://linapg.blogspot.com/
bahan-bahan
10-12 ekor sotong
7 ulas bawang merah (kisar)
3 ulas bawang putih (kisar)
2 hiris  halia (kisar)
2 hiris lengkuas (kisar)
2 biji cili padi (kisar)
2 biji cili merah - buang biji (kisar)
1 batang serai (ketuk)
3 asam keping
sedikit serbuk kunyit
100ml santan
100ml air
Daun kunyit
Garam dan perasa
Minyak
Air 

Cara-Cara
  1. Didihkan air bersama asam keping, kemudian rebus/celur sotong selama 30-45 saat.Angkat dan toskan.Ketepikan sebentar.
  2. Panaskan sedikit minyak, tumis serai bersama bahan kisar dan serbuk kunyit, tumis hingga pecah minyak.
  3. Setelah tumisan pecah minyak, masukkan 2 asam keping (LiNa Pg recyle je asam keping dari rebusan tadi), santan, air, garam dan perasa.Kacau sekejap dan biarkan kuah mendidih.
  4. Masukkan sotong yang telah dicelur tadi bersama hirisan daun kunyit.Tutup periuk dan masak sekejap sahaja kerana sotong tidak boleh dimasak terlalu lama, nanti tekturnya akan keras/liat.
  5. Tutup api dah siap sotong masak diraja.Setelah kuah sejuk sedikit, kuahnya akan semakin pekat.
  6. Video tutorial, sila tonton di YouTube Malina Lina Pg

  • Share:

You Might Also Like

0 comments