­
­
Cara Buat Udang Goreng Bawang Putih Mudah Dan Sedap - TERATAK MUTIARA KASIH

Cara Buat Udang Goreng Bawang Putih Mudah Dan Sedap

By LiNa_Pg - Sunday, March 16, 2025

 Assalamualaikum...

Selamat berhujung minggu buat semua pengunjung blog Teratak Mutiara Kasih.Minta maaf semua kelmarin tak sempat untuk update blog.Biasalah kalau hari sabtu saya akan ke 'market'/pasar untuk membeli barang-barang basah stok seminggu.Jadi nak bersiang dan membasuh semua haiwan tu mengambil masa yang agak lama.Dah siap acara basuh membasuh dan simpan dalam peti ais, bolehlah lunjur kaki sat sementara nak masuk bersilat di dapur memasak juadah berbuka puasa.Dah selesai semua terasa penat sangat.Plan asal tu nak mencuri sedikit masa update resepi dan berkongsi idea juadah berbuka dalam blog TMK ini tapi apakan daya terasa penat dan lesu.Puasa tahun ini cabarannya bukan lapar dan dahaga tapi letih, lesu dan rasa mengantuk.Ada ke yang rasa sama macam saya?

Panjang pulak bebel intro, okey kita berbalik kepada resepi untuk hari ini.Kalau kat rumah ada stok udang, boleh cuba resepi udang bawang putih, aroma bawang putih tu memang wangi semerbak ditambah pulak dengan aroma daun kari, memang membangkitkan selera.Resepi Garlic butter prawn ni sangat mudah, cepat disediakan.Kalau nak masak pukul 5am untuk sahur pun masih sempat.Bagi mak-mak yang berkerja, kalau sampai lambat kat rumah pun zup zap zup zap dah siap masak udang ni.

Garlic Prawn ni mesra kanak-kanak sebab cuma pedas manja sahaja.Saya guna cili kering yang kurang pedas.Itupun cuma potong-potong sahaja.

Udang Goreng Bawang Putih / Garlic Butter Prawn
by Malina Lina Pg https://linapg.blogspot.com/
Bahan bahan
12 ekor udang (saiz besar)
10 ulas bawang putih (cincang)
4 tangkai cili kering (rendam hingga lembut)
2 tangkai daun kari
1 sb mentega/butter
1 sb sos tiram
hirisan daun bawang
tepung jagung
serbuk pati ayam
serbuk cili
Garam dan serbuk kunyit
minyak

Cara-Cara
  1. Perasakan udang dengan garam, serbuk kunyit, serbuk cili dan tepung jagung.Gaul rata dan ketepikan sebentar.
  2. Panaskan minyak dan goreng udang hingga masak.Angkat dan ketepikan.
  3. Keluarkan lebihan minyak, tinggal sedikit untuk menumis dan masukkan mentega/butter.
  4. Masukkan bawang putih cincang, cili kering dan daun kari.Tumis sekejap hingga terbit bau dan masukkan hirisan daun bawang.Tumis lagi hingga bawang putih garing.
  5. Kemudian masukkan sos tiram, sedikit serbuk pati ayam dan udang yang telah digoreng tadi.Gaul rata.
  6. Tabur hirisan daun bawang untuk hiasan.Dah siap udang goreng bawang putih.Selamat mencuba!

  • Share:

You Might Also Like

0 comments