Resepi Roti Sira Kelantan Sedap Dan Mudah

By LiNa_Pg - Thursday, March 06, 2025

 Assalamualaikum...

Kembali bersiaran dan selamat menyambut ramadan mubarak buat semua tetamu blog kesayangan saya ini.Setelah beberapa hari kita menyambut kedatangan ramadan, baharu hari ini saya berkesempatan untuk menulis dalam blog.InsyaaAllah jika ada kelapangan saya akan berkongsi resepi-resepi menarik untuk kalian mencubanya.Sebenarnya masih banyak resepi yang belum sempat saya masukkan ke dapur maya nan satu ini.Jika sudi boleh terus sahaja ke Youtube saya, di situ saya masih rajin membuat video dan berkongsi resepi.Cuma untuk menulis blog, saya agak kekeringan idea untuk mengarang

Okey untuk hari ini saya nak kongsikan satu resepi pemanis mulut atau dessert yang berasal dari negeri Kelantan iaitu Sira Roti atau Roti Sira.Kuih atau dessert ini sangat popular semasa bulan ramadan dan sangat mendapat sambutan bagi pengunjung bazar ramadan di Kelantan.Kalau di negeri lain saya tak pasti sama ada produk ini dijual atau tidak.Kebiasaannya roti sira menggunakan roti banggali, jika tidak ada roti banggali, boleh juga gunakan roti gardenia yang biasa tu.

Beginilah rupa Roti Sira.Sebenarnya ada pelbagai versi roti sira kelantan.

Roti Sira Kelantan Kuih Popular Bulan Ramadan
by @malina lina pg https://linapg.blogspot.com/
Bahan A (roti)
7 keping roti banggali
3 biji telur (pukul sedikit)
Pewarna kuning
Minyak atau sedikit mentega

Bahan B (pemekat)
1/2 cawan air
1 sb tepung beras

Bahan C (sira)
2 cawan santan
2 keping gula nisan
Sedikit gula
Garam

Cara-Cara
  1. Pecahkan telur ke dalam bekas, masukkan sedikit pewarna kuning untuk naikkan seri sira roti nanti.Jika tidak suka pewarna tidak perlu masukkan.Pukul sedikit telur sekadar sebati sahaja.
  2. Panaskan pan/kuali, letak sedikit minyak atau sapu butter pada pan.Celup roti ke dalam telur dan bakar macam buat french toast.Terbalikkan roti dan bakar sebelah lagi.Setelah siap, angkat dan ketepikan.Ulang proses hingga roti habis.
  3. Sementara itu satukan bahan b iaitu air dan tepung beras.Bancuh hingga tepung beras larut dan tidak berketul.Ketepikan sebentar.
  4. Satukan bahan c iaitu santan, nisan kerek, gula, daun pandan, dan garam, masak hingga gula nisan larut.Kemudian masukkan bancuhan tepung beras.Masuk sedikit demi sedikit hingga kuah sira pekat.
  5. Kemudian masukkan roti yang telah dibakar tadi.Masukkan roti secara berperingkat 1-2 keping setiap masa.Salut roti dengan bahan sira kemudian angkat dan ketepikan.Ulang proses salut dengan sira hingga roti habis.Dah siap sira roti kelantan.Selamat Mencuba!

  • Share:

You Might Also Like

1 comments